KETUA Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yakin barisan pemainnya mampu melakar kejutan untuk menewaskan China dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu.

Selepas menunjukkan karektor yang baik ketika bangkit mengikat Syria pada Rabu, Pan-gon berbangga dengan corak permainan yang digambarkan sebagai karektoristik permainan Harimau Malaya dan mahu pemain mengekalkan corak yang sama ketika menentang China.

“Ketika menentang Syria, kami ketinggalan dua gol dan berjaya menyamakan kedudukan. Walaupun kami ketinggalan dua gol tetapi kami mendominasi permainan dari awal cuma dua kesilapan bagi mereka gol.

“Pemain berikan persembahan yang baik serta yakin dan agresif. Kami mampu mencabar dan mahu membina karektoristik Malaysia serta mahu teruskan dalam perlawanan bertemu China sebagai persiapan ke Piala Asia.

Kami cuba membina karektoristik permainan Malaysia yang lebih menarik. Kami mahu mendominasi setiap perlawanan dan agresif dan mahu berikan permainan yang menarik buat para penyokong Malaysia,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Pan-gon juga menyatakan dia dan barisan kejurulatihan sudah mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan China dan yakin anak-anak buahnya mampu memberikan satu perlawanan yang baik.

“Saya ada memori yang baik ketika bermain menentang China ketika bersama Hong Kong. Kami sentiasa hormat dan dengan rendah diri sudah mengkaji corak permainan China. Persiapan kami lancar dan maaf saya katakan yang saya agak yakin dengan perlawanan esok dan harap kami mampu berikan perlawanan yang baik,” jelasnya.

Selepas setahun setengah memegang jawatan ketua jurulatih, Pan-gon gembira apabila melihat pemain semakin yakin dengan diri mereka untuk menghadapi siapa pun lawan dan ini penting sebagai persiapan menghadapi Piala Asia.

“Saya sentiasa yakinkan pemain bahawa mereka boleh melawan sesiapa sahaja dan sekarang mereka sudah semakin yakin dengan kemampuan mereka dan saya gembira kerana saya yakin dengan pasukan kebangsaan Malaysia cuma mereka kurang percaya yang mereka cukup bagus dan kami mampu mencapai sasaran,” tambahnya.

Perlawanan pada Sabtu adalah perlawanan ke-24 Pan-gon bersama Harimau Malaya dan Malaysia berjaya mencatat 16 kemenangan, tiga seri dan hanya empat kekalahan selain menjaringkan 57 gol dan bolos 17 kali dengan tiada kecederaan dilaporkan dan pastinya aksi sengit bakal ditunjukkan oleh para pemain.