PERANCIS bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan New Zealand 27-13 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia Ragbi 2023 di Stade de France awal pagi Sabtu.

Pemain pertahanan tuan rumah, Thomas Ramos menghasilkan 17 mata tetapi All Blacks terlebih dahulu memungut mata selepas perlawanan berlangsung 92 saat.

Mark Telea berjaya melakukan touchdown berpunca sepakan lintang daripada Beauden Barrett namun tiga penalti Ramos membantu Les Bleus mendahului 9-8 pada separuh masa.

Percubaan kedua Telea, daripada hantaran lambung Richie Mo’unga, meletakkan New Zealand kembali di hadapan tetapi selepas try Damian Penaud dinafikan menerusi terjahan Mo’unga, Perancis merampas momentum.

Penaud menyambut hantaran Matthieu Jalibert untuk meraih mata, manakala kad kuning untuk sayap All Blacks, Will Jordan dan dua lagi penalti Ramos serta percubaan lewat Melvyn Jaminet memulakan pesta di Paris.

“Kami menjangkakan tentangan yang sangat sukar dan ia adalah perlawanan yang besar. Saya bangga menjadi orang Perancis malam ini,” kata Pemain Terbaik Perlawanan Mastercard, Gregory Alldritt (FRA).

Pengurus Perancis, Raphael Ibanez memuji semangat berpasukan mereka.

“Dalam perlawanan Piala Dunia, terutamanya pada hari pembukaan, (itu) yang paling penting. Itulah aksi hari ini menentang pasukan All Blacks yang cantik dan hebat,” katanya.

Catatan sejarah memaparkan New Zealand kalah dalam permainan peringkat kumpulan Piala Dunia Ragbi buat kali pertama.

Image

Mark Telea mendapatkan mata pertama untuk New Zealand dengan dua try.