BIARPUN masih diulit prestasi tidak menentu, kehadiran Lee Zii Jia bersama skuad badminton negara di Sukan Asia Hangzhou, tidak boleh dinafikan mampu mencetuskan impak positif terutamanya dalam acara berpasukan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain perseorangan lelaki profesional negara itu sudah membuktikan kredibiliti bersama skuad negara ketika beraksi dalam kejohanan berpasukan, sebelum ini.
Menurut Rexy, biarpun Ng Tze Yong tampak lebih menyerlah dalam kejohanan individu, namun pengalaman dimiliki Zii Jia mampu menjadi menjadi aset penting buat skuad negara.
“Belum ada sebarang perbincangan siapa akan menggalas tugas sebagai perseorangan pertama atau apa. Namun, untuk acara berpasukan sudah tentu kita memerlukan seorang pemain yang berpengalaman seperti Zii Jia.
“Prestasi Zii Jia juga bagus dalam kejohanan berpasukan sebelum ini. Cuma, untuk kejohanan individu dia masih lagi mencari rentak bersama jurulatihnya Wong Tat Meng. Saya harap dia akan lebih baik di Terbuka Hong Kong (bermula Selasa ini) dan di Sukan Asia nanti.
“Bagi acara berpasukan, kita tidak boleh cakap siapa hari ini bermain baik atau apa…kita perlukan pemain yang mempunyai kekuatan mental dan Zii Jia sudah buktikan banyak kali dalam kejohanan berpasukan,” kata Rexy, kini turut memainkan peranan menguruskan pemain perseorangan senior kebangsaan.
Zii Jia beraksi cemerlang ketika saingan Piala Sudirman di Suzhou, China pada Mei lalu apabila menang semua tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Di peringkat suku akhir dia meraih mata tanpa bermandi peluh apabila lawannya, Viktor Axelsen dari Denmark menarik diri akibat kecederaan dan dia turut menyumbang satu-satunya mata dengan menewaskan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin ketika Malaysia tewas 1-3 di separuh akhir.
Selain Zii Jia dan Tze Yong, Malaysia menyenaraikan dua lagi pemain perseorangan lelaki untuk acara berpasukan iaitu Leong Jun Hao dan Cheam June Wei.
Tugas dalam acara beregu pula akan digalas Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat-Chen Tang Jie.