KEJAYAAN meraih pingat gangsa di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Riyadh, Arab Saudi, meletakkan Muhamad Aniq Kasdan di kedudukan kesembilan dunia dan berada dalam posisi yang baik untuk layak ke Olimpik Paris tahun hadapan.

Bagaimanapun, peluangnya untuk diserap masuk ke dalam program Road to Gold (RTG) masih samar.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang juga Pengerusi bersama jawatankuasa itu menegaskan bahawa keputusan menambah atau menyingkir atlet hanya boleh ditentukan jawatankuasa terbabit sebaik mesyuarat jawatankuasa RTG dilangsungkan selepas Sukan Asia Hangzhou.

“Seperti saya maklumkan banyak kali, semua keputusan masuk atau keluar atlet, hanya boleh diputuskan jawatankuasa RTG yang dipengerusikan bersama menteri belia dan sukan serta Presiden OCM (Majlis Olimpik Malaysia-Tan Sri Muhamad Norza Zakaria) dan atlet-atlet lain,” kata Hannah Majlis Perlawanan Persahabatan Malaysia dan Korea Selatan Untuk Meraikan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Bukit kiara.

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai rayuan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) agar dua atletnya Aniq dan Aznil Bidin dimasukkan ke RTG.

Ketika ditanya sama ada Aniq menepati kriteria untuk layak berada dalam RTG kerana kini berada dalam ranking Top 10 dunia, Hannah menjawab “Kita ada jawatankuasa, patut bukan saya boleh buat komen tapi perbincangan dengan MOM, sebab itu mesyuarat akan datang penting, kena bincang dahulu dengan semua.”

Aniq kini berada di ranking kesembilan dunia, manakala Aznil Bidin ke-11, angkat berat bawah 61 kg.

Pada majlis pengumuman penubuhan RTG Mac lalu, dua kriteria utama pemilihan atlet ke dalam program tertinggi memburu pingat emas olimpik pertama negara itu, membabitkan atlet yang pernah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik selain menduduki ranking 10 terbaik dunia.

Program RTG ketika ini bukan hanya dibarisi atlet Top 10 malah kebanyakan atlet berada di luar kriteria yang ditetapkan.