KETUA Jurulatih skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) berbangga dengan para pemainnya yang sentiasa memperbaiki diri mereka dari hari ke hari musim ini meskipun tidak dapat membawa pulang trofi Malaysia Futsal Cup selepas tewas kepada Pahang Rangers FC 1-3 menerusi penentuan penalti.

Pengendali Sepanyol itu juga teruja dan bangga dengan aksi yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika terikat 4-4 selepas masa tambahan dan mahu memastikan JDT bangkit lebih baik musim hadapan.

“Saya rasa ketika dalam perlawanan ini yang berlangsung selama 40 minit dalam masa biasa dan 10 minit masa tambahan, kami lebih baik selama 40 minit manakala Pahang Rangers pula bermain baik selama 10 minit tetapi mereka lebih bertuah dengan sepakan penalti dan saya ucapkan tahniah buat mereka.

“Kami akan berkerja keras selepas ini dan secara keseluruhan, saya bangga dengan pemain saya kerana mereka sentiasa memperbaiki diri dari hari ke hari dan buktikan dalam perlawanan ini yang mereka mampu bersaing meskipun beberapa pemain mengalami kecederaan dan ada yang dilayangkan kad merah dalam permainan ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Juan juga turut menyatakan kekecewaan terhadap mutu pengadilan yang dikatakan sudah berulang kali berlaku sepanjang musim ini dan sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.

“Saya berpendapat, barisan pengadil perlu duduk bersama-sama dan melihat semula apa yang mereka lakukan serta melakukan analisis kerana keputusan yang meragukan ini sering terjadi dan perlu diperbaiki untuk masa depan yang lebih cerah,” tambahnya lagi.

Meskipun tewas dalam dua final kepada Pahang Rangers, tetapi ianya masih lagi boleh dianggap sebagai pencapaian yang membanggakan buat JDT selepas hanya setahun ditubuhkan dan bakal melakukan perubahan bagi menghadapi musim hadapan.