SELEPAS tujuh minggu jurulatih kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon mengemaskini status terbaharu di media sosial Instagram.
“Beautiful Malaysia!.”
Pendek, ringkas dan padat. Mungkin membawa pelbagai maksud dan pemahaman berbeza definasi hantaran berkenaan.
Sudah pastinya, ia berkisarkan kepada siri kejayaan berterusan skuad Harimau Malaya di pentas perlawanan antarabangsa Tier 1 yang berakhir pada Sabtu.
Keputusaan seri diperolehi ketika mengikat Syria 2-2 dan hampir menjerat Sang Naga (1-1) memperlihatkan kewibawaan dan sentuhan emas Pan-gon.
Ramai yang sangsi pada mulanya kunjungan pasukan negara ke bumi Chengdu, termasuk meramal bakal jadi ‘lauk’ mahupun berputih mata menentang pasukan di ‘top’ 100 dunia sedangkan Malaysia berada di ranking ke-136 dunia pada ketika ini.
Sedikit kerut dan tegang mimik muka lelaki asal Korea Selatan semasa berada di tepi padang memberikan arahan buat barisan para pemain serta sesi latihan.
Tapi, luar padang senyuman Pan-gon boleh bikin peminat teringat-ingat selalu. Ramai peminat dan penyokong gemar mendekati beliau untuk bersalam dan memotret gambar bersama sebagai tanda kenang-kenangan.
Bahkan, Pan-gon pernah memuji Malaysia sebuah negara yang mempersonakan dan ada banyak pusat pelancongan yang menenangkan hati.
Beliau tidak segan silu menamakan Terengganu antara bandar tercantik semasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganjurkan perlawanan persahabatan di Gong Badak pada Jun lepas.
Terbit sekelumat sekalung ucapan terima kasih daripadanya kepada negeri Terengganu, kerana menyediakan kemudahan yang baik, padang yang baik dan pemainnya menikmatinya 1001 keindahan bermain bola sepak.
Kami percaya lagi lama Pan-gon kekal di sini, lagi lama warga kelahiran Jinju dapat meneroka secara keseluruhan termasuklah memahami lebih erat budaya penyokong Harimau Malaya yang dahagakan kemenangan dan kejayaan.
Pan-gon juga gembira dengan prestasi yang ditampilkan oleh Malaysia sejak beliau mengendalikan pasukan pada tahun lepas.
Pun begitu, walaupun puas dengan corak permainan pasukannya, jurulatih berusia 54 tahun perlu mengenalpasti kelemahan untuk diperbaiki sebelum ‘terbang’ ke Qatar pada Januari tahun depan dalam saingan paling berprestij benua – Piala Asia 2023.
Sebelum itu, Malaysia akan menyertai Pestabola Merdeka sebagai hos, bulan depan sebelum bersaing pada Kelayakan Piala Dunia 2026 (November).