TEKANAN boleh dizahirkan dalam cara yang berbeza dan sasaran warna pingat adalah petunjuk prestasi (KPI) kepada pihak lain, bukannya atlet.
Ringkas daripada Timbalan Ketua Kontinjen (TCDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Profesor Madya Dr. Farrah Hani Imran, yang bersetuju dengan sasaran 27 pingat tanpa warna, ke atas kontinjen negara yang menggalas cabaran di temasya itu nanti.
Menyuarakan pandangan bukan sebagai TCDM, Farrah Hani sekadar mahu berkongsi pendapatnya sebagai bekas atlet gimrama yang pernah menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa termasuk temasya sukan.
Beliau yang juga pakar bedah dan pakar kesihatan mental di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berkata, perkara penting dalam mana-mana temasya adalah atlet dan bukannya pegawai yang meletakkan sasaran.
“Apabila kita keluarkan warna (sasaran), kita boleh pastikan mereka (atlet) memberikan prestasi terbaik.
“Perkara ini pernah berlaku pada saya sewaktu atlet dahulu, apabila ada pegawai datang dan katakan ‘Farrah, gold eh emas eh’, jadi you sewaktu itu budak kecil dengar tertekan tetapi mujur ibu bapa saya memahami kondisi, menenangkan saya dan katakan buat yang terbaik, apa warna pingat tidak penting, jadi saya teruskan karier saya tanpa memikirkan warna (pingat),” kata Farrah.
Menurutnya, sebagai seorang atlet, apa yang mahu dilakukan adalah memberikan yang terbaik kepada demi negara, itu sahaja tekanannya.
“Saya bersetuju bahawa mereka (atlet) memerlukan elemen tekanan lain untuk maju ke hadapan, tapi adakah seseorang itu dilengkapi dengan pengurusan tekanan yang baik, satu lagi cerita berbeza,” katanya.
Tambahnya, paling utama ketika ini adalah atlet ke sana (Hangzhou) memberikan kesungguhan terbaik.
“Balik dengan 27 pingat tanpa mengira warna. Wallahua’lam kita buat yang terbaik.
“Assessment kemudian ketika buat post-mortem,” ujarnya.