PENGENDALI skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi hanya mempunyai empat hari untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi dan dia memilih pemain dengan minit permainan berbanding senioriti.

Dia yang ditemui ketika hari pertama kem latihan Pusat Malayan Tigress di Pusat Latihan Sime Darby, Bukit Jelutong turut menegaskan dia menjangkakan aksi yang lebih baik dari para pemainnya berbanding ketika Sukan Sea Kemboja Mei lalu.

“Pemain-pemain sudah menjalani latihan dengan kelab masing-masing sejak pulang dari Sukan Sea. Mereka telah bermain secara kerap dalam perlawanan kompetitif sebagai kesan dari penubuhan Liga Wanita Nasional (LWN).

“Mereka telah mempunyai lebih pengalaman, bermain di bawah tekanan dan saya harapkan persembahan yang lebih baik dari para pemain kali ini dan saya hanya memilih pemain yang mempunyai minit permainan kerana persiapan yang singkat selain mereka juga dalam keadaan yang cergas untuk bermain dalam perlawanan tahap tinggi,” katanya.

Malaysia yang kini di ranking ke-89 dunia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Arab Saudi yang ditangga ke-172 dan Pakistan di ranking ke-157 dan apabila ditanya sama ada ranking lawan yang lebih rendah bakal memberikan kelebihan buat skuadnya, Soleen berkata ianya perkara yang baik namun tekanan tetap ada buat anak-anak buahnya memberikan aksi terbaik.

“Ianya sangat baik untuk menjadi pasukan dengan ranking yang lebih tinggi tetapi tekanan tetap ada namun ianya bagus kerana apabila kami bermain di bawah tekanan, ianya baik buat kami untuk belajar lebih banyak,” jelasnya.

Soleen memanggil 25 pemain dan semua pemain sudah melaporkan diri kecuali Azurin Mazlan dan Lyana Sobri yang beraksi di Kosovo dan mereka berdua akan menyertai pasukan di Arab Saudi untuk berhadapan tuan rumah pada 18 September sebelum bertemu Pakistan pada 21 September.

Tiga lagi pasukan yang bertanding adalah Laos, Lubnan dan Bhutan yang diundi dalam Kumpulan B dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium King Fahd Sports City, Taif.