HANYA tinggal satu tiket berbaki dari zon Eropah untuk mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2022.
Siapakah bakal meraihnya, Ukraine atau Wales ?
Ukraine kembali beraksi di peringkat separuh akhir playoff menentang Scotland dengan kemenangan 3-1 di Hampden Park, awal pagi Khamis tadi.
Perlawanan ini sepatutnya diadakan pada Mac lepas, namun tertunda kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Ketika itu para pemain Ukraine sedang berduka dan dilanda kekalutan kerana banyak ahli keluarganya masih terperangkap ketika di serang Rusia. Oleh itu, UEFA mengambil keputusan menunda pertemuan itu selepas situasi kembali normal.
Ukraine bermain gaya menyerang sejak minit awal. Mereka langsung tidak memberikan peluang Scotland mengembangkan permainan.
Andriy Yarmolenko memimpin Ukraine gol di minit ke-39, disusuli jaringan kedua oleh Roman Yaremchuk di minit ke-49.
Scotland sempat membangkitkan sisa harapan menerusi gol Callum McGregor di minit ke-79.
Sayangnya, gawang Scotland terus dibolosi untuk ketiga kalinya di masa kecederaan dan gagal mencapai Piala Dunia pertamanya sejak 1998.
Ukraine akan bertemu Wales di Stadium Millenium tengah malam Isnin untuk pengesahan slot terakhir Eropah yang mara ke Qatar November nanti.
Pada peringkat kumpulan nanti, Ukraine atau Wales akan bergabung dengan England, Iran, dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan B.
Perlawanan pertamanya adalah menghadapi Amerika pada 21 November.