MENJELANG 11 hari permulaan saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, perlumbaan terbesar Asia Tenggara itu mendapat perkhabaran baik apabila penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan salah satu dari penaja utama menyertai perlumbaan berprestij itu.

Penaja utama yang diumumkan adalah Kerajaan Negeri Terengganu yang bakal menjadi salah satu penaja bagi perlumbaan edisi ke-27 yang bakal bermula di Kerteh, Terengganu pada 23 September.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mengumumkan penajaan berjumlah RM800,000 yang merangkumi pelbagai bentuk penajaan termasuk logisitik bagi memastikan kelancaran perlumbaan ini.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Terengganu dengan penjenamaan ‘Beautiful Terengganu’ diberi penghormatan menaja kategori Pelumba Terbaik Asia di mana wakil kerajaan negeri akan menyarungkan jersi putih pendahulu kategori ini.

“Kategori ini cukup sinonim dengan Terengganu kerana negeri ini banyak melahirkan ramai pelumba handalan negara dalam LTdL hingga diberikan jolokan ‘Land of Cyclist’,” katanya di majlis pengenalan penaja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata meskipun terdapat perbezaan fahaman politik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, namun Terengganu tidak melihat itu sebagai kekangan kerana sukan adalah milik rakyat.

“Sukan adalah milik rakyat. Tidak ada sempadan dalam sukan dan kami sebagai kerajaan negeri berbangga untuk menjadi salah satu penaja utama bagi perlumbaan LTdL kali ini dan berharap ada anak Terengganu yang mampu menjadi pesaing dan memenangi peringkat di Terengganu,” jelasnya.

Untuk edisi kali ini, Terengganu bakal menjadi lokasi permulaan Peringkat 1 di Kerteh dan Peringkat 2 di Kuala Terengganu dengan majlis pengenalan pelumba juga akan diadakan di negeri itu.

LTdL 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 30 September merangkumi lapan peringkat perlumbaan bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur membabitkan jarak sepanjang 1,227km dengan 22 pasukan disahkan mengambil bahagian.