PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K. Devan memuji barisan pemain tempatan terutama pemain muda yang berjaya membuktikan mereka mampu memberikan saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun tewas 0-3 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu.
Dia tanpa berselindung berkata pasukannya ini mampu mencabar dan melangkah lebih jauh sekiranya mempunyai pemain import yang lebih berkualiti tetapi buat masa ini dirinya berbangga dengan aksi yang ditunjukkan pemain tempatan yang dianggap sebagai satu keunikan dalam pasukannya musim ini.
“Inilah keunikan pasukan Negeri Sembilan walaupun tidak ada pemain import kami boleh beraksi dengan baik dan tidak pernah tewas besar tanpa pemain import kecuali dengan JDT pada aksi Liga Super dahulu.
“Pemain tunjukkan semangat juang tinggi dan dapat menyimpan bola serta beraksi dengan disiplin dan buktikan kami mampu untuk memberikan saingan kepada JDT. Saya juga berharap aksi ini dikekalkan pada perlawanan kedua nanti dengan ramai pemain yang cedera akan kembali beraksi.
“Kita tunjukkan kita mampu saingi JDT dan pemain boleh berbangga dengan apa yang mereka pamerkan walaupun mungkin kita kurang dari segi kualiti tetapi kita cukup baik dari segi semangat, disiplin taktikal dan serangan balas serta dapat menguji Syihan Hazmi adalah bukti kami ada dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Devan turut memuji penjaga golnya, Firdaus Irman yang membuktikan dirinya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sikh Izhan apabila berjaya menafikan beberapa peluang bahaya JDT walaupun pada akhirnya dibolosi tiga gol.
“Pujian harus diberikan kepada semua pemain dan juga buat penjaga gol kami, Firdaus yang mempamerkan aksi hebat meskipun dibolosi tiga gol kerana kita bermain secara terbuka dan tidak melakukan taktikal parkir bas.
“Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas buat semua pemain terutama pemain muda kerana buktikan mereka ada kualiti untuk bersaing,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Devan tidak mahu memberikan sebarang komen terhadap kain rentang yang dinaikkan para penyokong yang menzahirkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan pasukan ekoran aksi kurang memberangsangkan musim ini kerana hanya menumpukan perkara yang berlaku di dalam padang.