KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu memastikan kos latihan sukan, dimasukkan ke dalam pelepasan cukai pendapatan tahunan, sekali gus melengkapkan kitaran industri sukan tanah air untuk terus berkembang.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dalam usaha memastikan ekosistem yang lengkap, pelepasan cukai terhadap kos latihan sukan, perlu bagi menjamin dasar kerajaan menjadikan sukan sebagai gaya hidup, tercapai.

“Tinjauan perbelanjaan isi rumah 2019…  kos digunakan bagi aktiviti sukan rekreasi adalah 0.21 peratus lebih daripada perbelanjaan peralatan sukan iaitu 0.05 peratus.

“Kos sukan renang membabitkan pakaian renang dan gogal, hanya sekitar RM150 berbanding kos kelas renang RM200-RM300 bagi empat sesi di Lembah Klang.

“Kos uniform sukan tempur pula hanya sekitar RM60 satu set berbanding kos latihan bulanan sekitar RM60,” kata Hannah, selepas melancarkan Jualan Sukan rahmah di Al -Ikhsan The Curve Mutiara Damansara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika berucap melancarkan Jualan Sukan Rahmah di Al-Ikhsan The Curve, Damansara.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan telah mewartakan dua kali ganda senarai sukan, iaitu daripada 51 kepada 103 jenis sukan ke dalam senarai pelepasan cukai, bermakna sekarang rakyat boleh mempunyai akses kepada lebih banyak peralatan sukan dan boleh menggunakan pelepasan sukan (cukai).

Jualan sukan rahmah itu dilancarkan sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023.

Beliau berkata, tanpa pelepasan cukai kos latihan sukan, ia akan membantut usaha kerajaan, apabila ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke kelas (latihan sukan rasmi) dan hanya membiarkan anak bermain-main sesuka hati di waktu petang yang tidak dapat diterjemahkan kepada usaha mengejar pingat yang kita mahukan.

Tambahnya, penganjuran HSN bukan sekadar satu acara, sebaliknya mahu membangunkan momentum dengan diterjemahkan kepada bentuk gaya hidup sihat, “Bermakna, dia (masyarakat) perlu membeli peralatan sukan dahulu.”

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melawat booth jenama yang mengambil bahagian dalam kempen Jualan Sukan Rahmah sempena Hari Sukan Negara 2023.

Senarai Outlet yang menyertai Jualan Sukan Rahmah 2023

Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd – 187 outlet

Gatti (M) Sdn Bhd – 27 outlet

Leonian (Malaysia) Sdn Bhd – 20 outlet

MST Golf Group Berhad – 1 outlet

Team Delta Rovers Malaysia Sdn Bhd – 1 outlet

Maxx Sports Sdn Bhd – 2 outlet

Original Classic Holdings Sdn Bhd – 71 outlet

Hakka Clo Plt – 1 outlet

Pro Apparel Group Sdn Bhd – 1 outlet

Decathlon Malaysia Sdn Bhd – 14 outlet