SATU siasatan dalaman berhubung ketirisan pemilihan calon Felo Perdana yang hangat dibicarakan ketika ini, sudah dimulakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya Hannah Yeoh berkata, berdasarkan KBS terdapat Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat ditetapkan sejak awal program itu dimulakan pada 2013 di negara ini.

“Bagaimanapun berdasarkan siasatan awal serta penelitian kami di KBS, dalam kes ini mendapati bahawa terdapat kelemahan dalam sistem SOP dari segi proses penapisan.

“Sehubungan itu, di KBS kami sudah memulakan satu siasatan dalaman untuk meneliti pasukan ‘vetting team’ yang bertanggungjawab ke atas proses pemilihan calon Felo Perdana itu untuk menentukan apa yang telah berlaku dalam situasi ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika berucap melancarkan Jualan Sukan Rahmah.-Pix KBS

“Berdasarkan prosedur, kami akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes ini,” kata Hannah, selepas diminta mengulas mengenai perkembangan terkini tindakan KBS dalam isu ketirisan felo perdana pada hari ini.

Kontroversi pemilihan calon Felo Perdana itu heboh selepas seorang pesertanya yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, kini telah ditamatkan selepas didapati mengemukakan sijil tidak tulen.

Hannah ditemui selepas melancarkan Program Jualan Sukan Rahmah di Al-Ikhsan, The Curve, merancakkan Sambutan Hari Sukan Negara 2023 yang akan sambutan Oktober ini.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengambilan semua Felo telah melalui prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN)

“Namun, keseluruhan SOP itu bergantung kepada agensi dilantik contohnya bagi tujuan ‘screening’ (penilaian).

“Maka kita akan melaksanakannya (proses penambahbaikan SOP) kerana perkara sebegitu (ketirisan felo perdana) tidak sepatutnya berlaku dan selepas ini kita tidak akan membenarkan insiden sama berulang,” ujar Hannah.

Peserta Felo Perdana 2023. -Pix Harian Metro

Program Felo Perdana merupakan program mentoring dan internship dengan matlamat melahirkan belia berdaya saing dan memahami sistem pentadbiran negara.

Program ini telah berjaya menghasilkan 763 orang Felo sejak dilancarkan pada tahun 2013.

Dalam satu kenyataan bertarikh 13 September 2023 di Putrajaya, KBS mengesahkan bahawa pihaknya telah mengambil maklum akan perkara yang tular berkenaan Felo Perdana yang ditempatkan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Kenyataan KBS itu memaklumkan bahawa Pelajar universiti awam di ibu negara ini telah menyenaraikan beberapa pencapaian semasa permohonan program Felo Perdana.

Namun bagi salah satu pencapaian yang disenaraikan, setelah disemak dengan lebih lanjut bersama penganjur, adalah didapati bahawa sijil yang dikemukakan tidak tulen.

Justeru, peserta terbabit akan ditamatkan dari menyertai program Felo Perdana kerana telah melanggar terma perjanjian program.

KBS juga menegaskan bahawa individu tersebut akan ditawarkan untuk mengikuti sesi kaunseling.