PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bersetuju mengenai bentuk bantuan dan sumbangan yang akan diberikan kepada keluarga mendiang B Sathiananthan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam arena bola sepak negara.
FAM dalam kenyataan rasmi memaklumkan kedua-dua pihak turut berbincang dalam memastikan kebajikan bekas pemain bola sepak negara sentiasa diambil perhatian sepenuhnya.
“Yakeb setakat ini sudah memberikan bantuan dan sumbangan kepada 60 orang bekas pemain bola sepak menerusi Skim Bantuan Khas Yakeb,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Yakeb di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Kunjungan Yakeb itu turut disertai oleh Krishna Priya, balu mendiang B. Satiananthan, bekas ketua jurulatih kebangsaan yang meninggal dunia pada 18 Julai lalu.
Sementara itu, delegasi Yakeb diketuai pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed disambut oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Dalam pada itu, FAM merupakan persatuan sukan pertama yang menjemput Yakeb untuk menjalinkan kerjasama.
“Kami amat berbesar hati dapat berkunjung ke Wisma FAM pada hari ini.
“Bagi memastikan pelbagai bentuk bantuan atau sumbangan dapat disalurkan kepada bekas-bekas atlet ini, kami juga mengalu-alukan bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara di Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik supaya mendaftar sebagai ahli YAKEB iaitu secara online di www.yakeb.org.my atau menghubungi kami di 03-20924841/4844,” kata Noorul Ariffin selepas kunjungan itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Kerjasama Yakeb-Genting buka peluang kerjaya bekas atlet
Sehingga kini, seramai 2,998 orang ahli telah mendaftar sebagai ahli Yakeb dengan 340 daripadanya adalah bekas pemain bola sepak termasuk 43 daripadanya adalah wanita.
“Kami menyasarkan 500 hingga 600 bekas pemain bola sepak mendaftar sebagai ahli,” katanya lagi.