KUARTET 4×100 meter (m) lelaki diyakini mampu melakar rekod baharu kebangsaan pada Sukan Asia Hangzhou.
Keyakinan itu disuarakan jurulatih pecut kebangsaan, Mohd Poad Kassim, selepas pelari pecut lelaki negara, menguasai kedudukan podium pada Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, Indonesia, semalam.
Paling memberangsangkan, pelari yang baru pulih dari kecederaan, Muhammad Arsyad Md Saat mempamerkan larian terbaiknya dengan catatan masa 10.38 saat (s) sekali gus memenangi pingat emas, diikuti perak milik Jonathan Nyepa (10.55s) dan Khairul Hafiz Jantan gangsa (10.57s).
“Saya bersyukur dengan pencapaian yang diraih atlet yang bertanding di sini (Terbuka Jabar). Pencapaian ini adalah penanda aras mengenai persiapan atlet pecut sebelum ke Sukan Asia.
“Insya-Allah sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100m di landasan yang tepat. Jika dapat pingat ia dianggap sebagai bonus,” katanya.
Tiga pelari berkenaan akan berganding bersama pemegang rekod kebangsaan 100m yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Fahmi, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 4x100m.
Rekod kebangsaan dipegang kuartet yang dibarisi Azeem, Arsyad, Haiqal dan Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan 39.09s yang dilakukan ketika Sukan Sea Hanoi 2022.
Sementara itu, pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias meraih perak dalam acara final 100m dengan catatan 11.99s.
Azreen dijadualkan akan beraksi di Sukan Asia dalam acara 4x100m bersama Zaidatul Husniah Zulkifli, Shereen Samson Vallabuoy, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling.
Sukan Asia Hangzhou akan membuka tirai saingannya bermula dari 23 September hingga 8 Oktober ini.