KEGAGALAN menyudahkan peluang dilihat sebagai punca mengapa Sabah FC tidak dapat memenangi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia apabila diikat Perak FC 2-2 dalam aksi yang mendebarkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengakui mengenai perkara ini dan berazam untuk menampilkan corak permainan yang berlainan ketika aksi timbal balik di Stadium Perak, Ipoh yang dijadualkan pada 25 September nanti.
“Kita mencipta banyak peluang tetapi tidak dapat menyempurnakan. Kita tahu Perak hadir ke sini dengan pelan mahu membawa pulang kelebihan gol dan mereka berjaya melakukannya.
“Namun begitu masih ada perlawanan timbal balik di Ipoh dan ianya akan jadi satu permainan yang berbeza di mana di sini kita kawal perlawanan dan cipta peluang tetapi kita gagal sempurnakan dan jadi punca kegagalan mendapat kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bagaimanapun Kim Swee tidak bimbang keputusan seri ini bakal menggangu momentum pasukan menjelang aksi pembukaan Kumpulan H, Piala AFC pada Khamis kerana padanya itu adalah perlawanan yang lain dan berbeza sama sekali dari perlawanan Liga Malaysia.
“Dalam perlawanan Piala AFC nanti ianya sangat berbeza kerana kita akan bermain dalam intensiti yang berlainan. Saya percaya apa yang dilakukan dalam perlawanan ini dapat membantu saya untuk mengenal pasti dan baiki kelemahan kami sebelum bertemu Hougang United,” jelasnya.
Dua gol awal pada setiap babak oleh Darren Lok dan Ramon Machado gagal membantu Sabah membawa bekalan selesa ke Ipoh apabila Luciano Guaycochea dan Wan Zack Haikal dua kali menyamakan kedudukan untuk memastikan Perak membawa bekalan yang selesa ke Ipoh.