AKSI kemuncak final kedua Piala Belia 2023 bakal berlangsung malam esok menemukan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) IV bertemu Selangor FC di Stadium UiTM Shah Alam.

Sebelum ini pada pusingan pertama final Piala Belia, kedua-dua pasukan sama liat apabila seri 1-1 di Kulai minggu lepas.

Atas kertas Selangor ada kelebihan kerana beraksi di halaman sendiri dan bakal menerima tonik tambahan disokong para penyokong Merah Kuning yang fanatik.

Menerusi kenyataan rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sidang media praperlawanan menjelang Final 2 Piala Belia 2023, Selangor FC lwn Johor Darul Ta’zim IV telah berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam, pagi tadi.

Sesi itu dihadiri oleh ketua jurulatih Selangor FC, Mohd Khushairi Abd Wahab dan penjaga gol, Parid Hidayatulloh serta ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim IV, Juan Miguel Munoz Rodriguez dan kapten, Danish Hakimi Sahaludin.

“Kami telah melakukan persiapan yang rapi dan kemudian kita boleh tengok semangat survive of final itu ada di dalam latihan dan then kita dapat harap kekalkan hingga ke final.

“Kita punya cara adalah untuk menampilkan permainan yang menarik dan esok kita akan pergi sehabis baik. Kita akan sajikan permainan yang betul-betul bertenaga,” kata Mohd Khushairi.

Sementara itu, Juan Miguel Munoz Rodriguez menyifatkan anak buahnya perlu memenangi perlawanan akhir.

“Saya beritahu pemain banyak kali bahawa mereka perlu bersedia dan mereka bersedia untuk perlawanan akhir ini,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Koordinasi Perlawanan (MCM) turut diadakan bagi memastikan perlawanan yang akan berlangsung di Stadium UiTM jam 8.30 malam esok itu berjalan lancar.

Berita baik, kemasukan penonton dan penyokong untuk perlawanan akhir adalah percuma.