BEKAS pembantu jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berpendapat bahawa pemain kebangsaan yang berkelana di Eropah, Luqman Hakim Shamsudin adalah aset negara jika diberi peluang dan perlu sentiasa dipantau.
Luqman mendapat kecaman hebat dari penyokong tempatan di media sosial selepas mempamerkan aksi hambar ketika membantu skuad B-23 tahun kebangsaan layak secara merit ke Kejohanan Piala Asia AFC B-23 2024 di Thailand minggu lalu.
Dari dua aksi yang ditampilkan, dia gagal menemui jaringan dan dilihat tidak memberikan bantuan secukupnya kepada rakan sekali gus tidak menggambarkan kualitinya yang beraksi di Eropah dan para peminat mencadangkan agar dia kembali bermain di Malaysia demi masa depannya.
“Luqman adalah aset negara jika diberi peluang dan sentiasa dipantau pasti dia bakal mengegar di pentas antarabangsa. Pemilihan posisi yang tepat dengan kepantasan yang ada padanya pasti akan menjadi nilai tambah pada permainannya.
“Jika hanya Luqman sahaja yang berdaya tinggi tidak cukup jika rakan sepasukan yang lain bermain macam amatur sekaligus tidak akan membantu dia untuk tunjukkan kelebihan yg ada.
Rata-rata pemain B-23 sepatutnya sudah menjadi tonggak utama di kelab masing-masing atau berkelana keluar negara untuk mendapatkan intensiti permainan antrarabangsa jadi ianya tidak adil untuk meletak kan semua masalah pada Luqman,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Sulaiman juga tidak bersetuju dengan kenyataan Datuk Jamal Nasir yang berpendapat sudah sampai masanya untuk tidak memanggil Luqman untuk mewakili Malaysia kerana dilihat tidak membantu skuad muda kebangsaan.
“Saya tidak bersetuju pandangan dari Datuk Jamal Nasir berkaitan isu permainan Luqman. Kita seharusnya menyokong dan berharap dengan peningkatan rakan sepasukan akan dapat membantu dia untuk lebih cemerlang.
“Bola sepak adalah permainan berpasukan jadi semua pemain wajib dalam keadaan terbaik dan memudahkan jurulatih untuk membentuk pasukan yang lebih baik untuk menghadapi kejohanan akhir di Qatar nanti,” tambahnya.