BAYANGAN final Sukan Asia Hangzhou, mungkin itu yang akan terjadi apabila beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mara ke final Terbuka Hong Kong dan bakal membuat perhitungan dengan gandingan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti pada Ahad.
Atas kertas, tentunya pasangan negara jiran yang diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan itu, menjadi favourite, namun peluang yang dimiliki kedua-duanya adalah seimbang selepas rekod pertemuan menunjukkan masing-masing memenangi dua perlawanan.
Terdahulu, Pearly-Thinaah melangkah ke final kedua tahun ini selepas mengatasi gandingan adik beradik dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 21-13, 21-18 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum.
Apriyani-Siti Fadia pula mengesahkan tiket bagi pemburuan gelaran juara menerusi kemenangan ke atas Maiken Fruergaard-Sara Thygesen dari Denmark 21-16, 23-21.
“Sudah tentu semua pemain mahukan gelaran juara sama juga dengan kami, tetapi kami tidak mahu terlalu teruja. Apa yang kami perlu lakukan adalah membuat persiapan terbaik untuk menghadapi aksi final,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat aksi separuh akhir.
Menurut Thinaah, kejayaan melangkah ke final dianggap sebagai tonik buat mereka tetapi pada masa yang sama masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadi lebih konsisten.
“Kami masih belum berpuas hati dengan permainan kami dan perlu lebih konsisten dalam perlawanan. Namun, kemenangan hari ini memberi suntikan semangat untuk kami mengatasi masalah berkenaan dan diharapkan kami boleh kekalkan momentum untuk final nanti,” katanya.
Untuk rekod, final Terbuka Hong Kong final kedua buat Pearly-Thinaah musim ini selepas muncul naib juara Malaysia Masters, Mei lalu.
Sementara itu, langkah pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei terhenti di separuh akhir selepas tewas di tangan pemain China, Zhang Yi Man.
Bekas juara remaja dunia dua kali itu terpaksa akur apabila tewas 14, 11-21.
Meskipun tewas namun ia adalah pencapaian terbaik buat Jin Wei tahun ini dan memberi tonik tambahan buat dirinya bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou.