MENGAKUI cabaran di Hangzhou tidak mudah, pasukan kriket wanita negara tetap bersemangat dan mahu menampilkan aksi terbaik di temasya Sukan Asia, Hangzhou dengan sasaran mara ke separuh akhir.

Skuad kriket wanita negara yang berlepas ke Hangzhou, China hari ini, menjadi kumpulan pertama mengibarkan cabaran dengan perlawanan pertama akan bermula pada Selasa ini berdepan, Hong Kong.

Kapten pasukan, Winifred Anne berkata, pengalaman merangkul pingat perak di Sukan Sea Kemboja lalu akan digunakan sebaik mungkin ketika beraksi di Hangzhou nanti.

Di Hangzhou, hanya satu acara T20 dipertandingkan berbanding di Kemboja, tiga acara dan Winifred menjelaskan perkara itu bukan satu masalah kerana pemain boleh menggunakan pengalaman ketiga-tiga acara ke dalam T20.

Kapten pasukan kriket wanita kebangsaan, Winifred Anne yakin persiapan yang dilakukan bakal membolehkan skuad negara menamatkan saingan Sukan Asia di kedudukan terbaik.

Winifred berkata, inilah masanya buat dia dan rakan sepasukan meraih sebanyak pengalaman menentang pasukan handalan kriket sepeti India, Pakistan dan Sri Lanka.

“Ketika di Sukan Sea lalu, kami bermain tiga format iaitu T20, T10 dan ODI 50 over tapi kali ini di Sukan Asia hanya akan bermain format T20. Jadi pengalaman di Sukan Sea lalu diharap dapat membantu kami dalam memberikan yang terbaik untuk negara.

“Apa yang saya pasti, kami akan berikan 100 peratus. Semua pemain pun begitu semangat dan tak sabar untuk beraksi,” katanya.

Skuad kriket wanita negara, dalam mood ready to fight.

Sementara itu, Ketua Kontinjen, Datuk Chong Kim Fatt yang berangkat bersama-sama pasukan kriket ke Hangzhou berkata, beliau mengharapkan semangat juang yang tinggi daripada barisan pemain.

“Harapan saya kepada skuad kriket ini tiada yang lain fight for gold. Usaha untuk dapatkan emas.

“Jaga diri dan jaga kesihatan sepanjang di Hangzhou dan selalu saya ingat akan untuk semua atlet menjaga diri kerana keadaan cuaca, budaya, makanan di sana berbeza. Makan makanan yang biasa anda semua makan supaya tiada masalah nanti,” katanya.

Kim Fatt bersama 15 atlet kriket negara menjadi pasukan pertama berlepas ke Hangzhou dengan kontinjen terbesar atlet akan berlepas 21 September ini.