PENJAGA gol skuad Malayan Tigress, Azurin Mazlan yakin kombinasi pemain senior dan junior dalam pemilihan kali ini mampu menghadirkan keputusan yang baik buat pasukan dalam menghadapi Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi.

Azurin yang kini bermain bersama FC Presingu di Kosovo juga tidak berdepan masalah mengadaptasi corak permainan yang diterapkan oleh pengendali, Soleen Al-Zoubi dan bersedia bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Ini kali pertama saya bermain di bawah kendalian Soleen Al-Zoubi dan ianya sesuatu yang baru tetapi filosofi permainan yang diterapkan iaitu ‘high pressing‘ dan ‘build up play‘ adalah sama seperti cara permainan saya dan memudahkan saya mengadaptasi dengan baik.

“Kombinasi antara pemain senior dan pemain muda yang berada dalam skuad boleh memberikan keputusan yang baik buat Malaysia. Ini kerana kita mempunyai pemain senior berpengalaman yang mampu memberi tunjuk ajar selain tenaga dari pemain muda yang sangat penting buat pasukan.

“Tekanan dari penjaga gol lain itu pasti ada tetapi ianya adalah persaingan yang sihat dan semua akan tunjukkan siapa yang terbaik jadi siapa yang diturunkan akan berikan aksi terbaik,” katanya.

Skuad Malayan Tigress juga menjadikan dua skuad lelaki kebangsaan sebagai contoh dan berikrar untuk memberikan aksi terbaik bagi meneruskan keputusan cemerlang buat skuad bola sepak negara dan dia juga mengharapkan sokongan padu dari semua penyokong Malaysia.

“Sebagai pemain kita akan cuba usaha dan sudah tentu kita mahu mengikut jejak langkah Harimau Malaya dan skuad B-23 yang layak ke Piala Asia. Kami juga mahukan keputusan yang positif dan semua pemain akan berikan yang terbaik.

“Untuk semua penyokong di Malaysia, teruskan sokongan yang baik buat kami kerana ianya sebagai tambahan semangat buat para pemain ketika beraksi,” jelasnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka tirai kejohanan enam negara itu menentang pasukan tuan rumah, Arab Saudi pada Isnin sebelum bertemu Pakistan pada 21 September di Stadium King Fahd Sports City, Taif.