KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina gembira dengan kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Sri Pahang FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.
Pengendali Croatia itu turut menjelaskan bahawa selepas gagal memanfaatkan peluang yang ada dan berhadapan lawan yang sukar, satu gol sudah mencukupi buat pasukannya dan mahu terus melakukan perkara yang sama pada aksi timbal balik.
“Selepas menang perlawanan yang sukar ianya satu keputusan yang baik. Saya puji para pemain kerana kami tahu Sri Pahang ada kualiti dengan penyerang yang baik dan juga kami dapat sekat mereka terutama menerusi ‘set piece‘ dan cukup gembira dengan keputusan ini.
“Sudah tentu perlawanan kedua nanti cukup sukar. Saya tidak meminta lebih kerana kami tidak berjaya menyudahkan peluang dan ini adalah bola sepak. Aksi perlawanan ini cukup menarik walaupun kurang dari segi jaringan tetapi siapa yang hadir ke stadium pasti gembira dengan aksi yang ditunjukkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Nenad turut memuji penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan yang dianggap beraksi cemerlang selepas menafikan percubaan merbahaya anak-anak buahnya untuk memastikan skuad Tok Gajah masih ada di dalam pertandingan ini.
“Izham berjaya memastikan Pahang masih berada dalam permainan ini dengan beberapa ‘safe‘ yang cukup baik dan jaringan tunggal Morales menyebabkan kami masih kekal dalam pertandingan ini,” jelasnya.
Ditanya sama ada dia akan mengekalkan corak permainan yang sama pada aksi suku akhir kedua, dia mahu melihat dahulu keadaan para pemain kerana ada yang mengalami kecederaan namun dia mahu para pemain percaya dengan diri mereka sendiri.
“Malang buat Kenny apabila dia dilayangkan kad merah tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak. Pemain positif dan mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah pemain yang bagus dan tugas saya adalah untuk meyakinkan mereka,” tambahnya.
Kuala Lumpur City membawa bekalan tipis ke Kuantan untuk aksi suku akhir kedua Piala Malaysia dan mereka juga perlu menghadapi perlawanan itu yang dijadualkan pada sebelah petang.