PENGENDALI Kawasaki Frontale, Toru Oniki sedar perlawanan yang sukar menanti pasukannya apabila berhadapan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Oniki juga sedar dengan kebolehan pemain JDT dan mahu para pemainnya untuk merantai kesemua pemain yang diturunkan bagi mengelak kekalahan kerana sedar akan kualiti yang ada pada kombinasi serangan JDT.
“Kami gembira dapat menyertai Liga Juara-Juara AFC sekali lagi. Kami kembali ke Johor dan sedar ianya akan menjadi satu perlawanan yang sukar apabila berhadapan JDT dan kami mahu lakukan yang terbaik pada perlawanan esok.
“Pasukan kami sedar yang JDT semakin berkembang dengan mereka mempunyai pemain yang baik dari segi individu. Ianya sukar tetapi apa yang penting kami sentiasa mahu dapatkan bola pertama dalam perlawanan ini.
“Pemain kami perlu merantai kesemua pemain JDT terutama pemain nombor 9 (Bergson Da Silva) dan nombor 20 (Juan Muniz) serta semua pemain serangan kerana mereka sangat berbahaya,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Kawasaki sendiri mahu mendapatkan gol awal untuk memastikan mereka dapat mengawal perlawanan sejak wisel permulaan kerana tahu suasana Stadium Sultan Ibrahim yang menakjubkan boleh membantu JDT melakar kejutan.
“Dari pengalaman yang lalu, kami mesti jaringkan gol awal kerana keadaan di stadium ini sangat menakjubkan dan kami perlu mengawal perlawanan dari awal jika ingin menang.
“Kami cuba perbaiki setiap masa dan akan beri saingan ketika perlawanan meskipun kami mempunyai lapan pemain baharu yang dinaikkan pangkat dari skuad remaja berbanding skuad tahun lalu,” jelasnya.
Sementara itu, ketua pasukan Kawasaki Frontale, Kento Tachibanada juga senada dengan ketua jurulatihnya dan mahu mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama kerana ianya penting untuk membina momentum dalam saingan ini.
“Sasaran kami untuk muncul juara dan memenangi perlawanan pertama kerana ianya penting untuk mendapat momentum yang baik dalam kejohanan ini dan kami akan lakukan yang terbaik dari awal dan kawal perlawanan,” katanya dalam sidang media yang sama.
Tachibanada juga mengenali pemain tengah JDT, Takahiro Kunimoto yang dianggap cukup berbahaya dan dia sebagai pemain tengah mahu memastikan rakan senegaranya itu dikunci rapat supaya tidak dapat bergerak bebas di dalam padang.
“Saya kenal dia dan dia bagus dan akan sekat dia dan pastikan dia tidak bebas di atas padang. Kami yakin tetapi kami faham JDT pasukan yang kuat dan keadaan di sini sangat bagus tetapi kami mahu mencatatkan kemenangan dan saya pasti ianya akan menjadi satu perlawanan berintensiti tinggi,” jelasnya.
Sebagai rekod pada musim 2022, kedua-dua pasukan bertemu dalam peringkat kumpulan di Stadium Sultan Ibrahim dengan JDT mengikat Frontale 0-0 pada perlawanan pertama sebelum dibelasah 0-5 pada aksi kedua yang mana Harimau Selatan menurunkan barisan kedua mereka.