PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari menganggap pertemuan menentang Kawasaki Frontale dalam aksi pembukaan Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa adalah aksi yang mencabar tetapi dia yakin barisan pemainnya mampu memberikan tentangan sengit.

Dia sedar tahap saingan di ACL berbeza dengan aksi di liga tempatan dan atas sebab itu dia mahu para pemain meningkatkan tahap permainan mereka dan membuktikan mereka mampu bersaing dengan kelab-kelab terbaik Asia sekali lagi.

“Kawasaki Frontale adalah pasukan yang bagus dengan jurulatih yang sudah enam tahun bersama pasukan tetapi kami akan pastikan perlawanan yang sukar kerana kami sudah bersedia dan perlu tingkatkan tahap apabila bermain di kejohanan ini untuk bersaing dengan mereka. Esok adalah penentuan sama ada kami benar-benar sedia.

“Perlawanan pertama sememangnya penting dalam mana-mana kejohanan dan kami mahu buktikan apa yang kami telah berlatih selama sembilan bulan dan akan lakukan corak permainan yang sama tetapi kami perlu tingkatkan tahap kerana mereka beraksi di liga yang sangat baik.

“Apa yang penting adalah aksi esok akan menyaksikan perlawanan terbuka dengan kedua-dua pasukan akan bermain bola sepak yang baik dan ini adalah peluang untuk kami menilai tahap kami tetapi saya yakin kami boleh bersaing kerana kami mempunyai kualiti,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Solari yang bakal muncul buat kali pertama di pentas ACL gembira dengan persiapan pasukan dan kembalinya dua ayam tambatan, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo memberikan keyakinan tambahan buat Harimau Selatan untuk mengharungi kempen ACL musim ini.

 

“Forestieri baru mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan sejak tiga hari lalu manakala Diogo sudah 10 hari menjalani latihan tapi saya perlu lihat tahap kecergasan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada mahu meletakkan mereka dalam kesebelasan utama,” jelasnya.

Solari juga tidak mahu memikirkan rekod musim lalu yang menyaksikan JDT seri 0-0 sebelum tewas 0-5 kerana keadaan sudah berubah tetapi dia tetap menghormati lawan dan gembira kerana aksi pertama berlangsung di laman sendiri.

“Situasi yang berbeza musim lalu tetapi ianya masih perlawanan yang baik dan Frontale tunjukkan mereka suka bermain dengan pantas dan mereka dilihat lebih baik musim ini tetapi kami perlu tenang dan bermain permainan kami.

“Mereka mempunyai pemain yang berkualiti yang bemain di Eropah malah pemain tempatan mereka juga berbakat tetapi aoa yang penting bagi kami ialah kami hanya fokus kepada diri kami dan tingkatkan tahap permainan.

“Kami juga sedar musim ini lebih sukar dengan format baharu tetapi kami gembira kerana bermain di tempat sendiri dahulu dan kami mahu memburu tiga mata pertama terlebih dahulu dan kami akan ambil pendekatan satu demi satu perlawanan,” tambahnya.

Selain JDT dan Kawasaki Frontale, Kumpulan I turut menyaksikan penampilan wakil Korea Selatan Ulsan Hyundai dan kelab BG Pathum United dari Thailand yang akan berentap secara ‘home and away’ untuk merebut tempat ke pusingan 16 terbaik ACL musim ini.