KAPTEN pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat menyatakan dia dan rakan-rakan sepasukan sudah tidak sabar hendak memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC musim ini kerana sudah melakukan persiapan lebih dari sembilan bulan.

Meskipun teruja dan tidak sabar untuk beraksi, dia masih tetap menghormati lawan dan menyedari akan kekuatan mereka namun dia yakin dengan kemampuan pasukannya untuk memberikan saingan sengit di hadapan penyokong sendiri.

“Persiapan sangat baik dengan kami semua bekerja keras dalam latihan dan semua pemain dalam keadaan yang cergas. Kami jangkakan perlawanan yang baik dan mahu berikan kegembiraan kepada penyokong kerana kami tidak sabar untuk aksi ini kerana sudah menunggu lama untuk memulakan kejohanan ini.

“Tetapi kami tahu mereka adalah lawan yang kuat dan kami hormat mereka. Namun, kami adalah JDT dan kami mempunyai cara permainan kami serta ketika beraksi di peringkat ACL ini sudah pasti kadang kala kami perlu bertahan dan perlu tingkatkan tahap untuk menyaingi lawan tetapi semua pemain sudah bersedia untuk aksi ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

“Pemain naturalisasi Indonesia itu turut menyeru para penyokong untuk hadir memberikan sokongan kerana mereka bakal disajikan aksi bola sepak yang berkelas tinggi dari kedua-dua pasukan kerana masing-masing ingin mendapat tiga mata penuh pada aksi pertama kumpulan.

“Sejujurnya kedua-dua pasukan adalah baik dan kami sedar ada beberapa keadaan akan tidak memihak kepada kami tetapi kami akan lakukan rutin kami dan tingkatkan motivasi dan perlu bermain dengan bersabar dan agresif. Esok adalah masanya untuk beraksi dan berharap penyokong yang hadir akan gembira dan kami mahukan tiga mata.

“Kami sudah menganalisa mereka tetapi kami juga mempunyai skuad yang kuat dan sukar untuk jurulatih memilih kesebelasan utama kerana semua pemain berikan yang terbaik ketika latihan dan sentiasa bersedia untuk diturunkan.

“Di JDT, kami sentiasa mahu menambah baik dan ini adalah sebab mengapa kelab ini berkembang dengan baik kerana kami tidak pernah berpuas hati dan sentiasa mahukan yang terbaik. Semua dalam keadaan yakin dan tidak sabar untuk beraksi esok,” tambahnya.