MAJLIS Sukan Negara (MSN) yakin, Datuk Azizulhasni Awang masih menjadi sandaran utama untuk menghadiahkan kilauan emas di temasya Sukan Asia, Hangzhou, China yang akan membuka tirai Sabtu ini.
Menurutnya, tiada apa yang perlu dirisaukan berhubung tahap terkini Azizul dengan pemenang pingat perak Olimpik Tokyo dalam acara keirin itu sudahpun menjalani latihan seperti biasa selepas mengalami kemalangan Jumaat lalu.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kecederaan yang dialami Azizul adalah kecederaan ringan yang biasa dialami oleh atlet berbasikal.
“Azizul masih lagi sandaran utama untuk pingat emas dan tiada masalah bagi dia memberikan yang terbaik kerana tahap kecederaan dialami tidak serius.
“Saya dimaklumkan bahawa dia sudah menjalani latihan semula di bawah kendalian ketua jurulatih kita, John Beasley,” katanya.
Jumaat lalu Azizul dalam laman sosial miliknya memaklumkan terbabit dengan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional, Nilai.
Menerusi perkongsian video berdurasi 36 saat di Facebook menyaksikan jaguh negara itu seperti melambung ketika berada di selekoh dalam usahanya untuk mengejar motosikal pada sesi latihan terbabit.
Walaupun kemalangan itu dilihat agak teruk namun Azizul berkata, kemalangan itu tidak mendatangkan kecederaan serius namun pada masa sama ia bukanlah ‘bahan jenaka’.
Di Hangzhou, Azizulhasni akan menyertai dua acara iaitu pecut individu dan keirin.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.
Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kegagalan mekanikal pada tayar adalah punca kemalangan yang membabitkan Azizulhasni.
“Kegagalan mekanikal pada tayar menyebabkan kemalangan berlaku. Saya percaya dia memecut laju sekurang-kurangnya 80 kilometer sejam dan nasib baik dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius selain hanya melecet di bahagian tangan dan kakinya,” kata Amarjit.