KEJUARAAN Petronas Malaysian Cub Prix akan mencapai pusingan ketujuhnya pada hujung minggu ini yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu.
Md Farish Iqmal Khairul Elyas yang mewakili pasukan Bad Lab Honda KC Racing merupakan salah seorang pelumba yang berazam untuk mencipta nama dalam dunia permotoran.
Pada musim lalu, Farish telah menamatkan kejuaraan di kedudukan keempat dan tahun ini dia kembali bangkit dengan penuh keyakinan sejurus membawanya ke tempat kedua dalam klasemen keseluruhan.
Pelumba muda itu telah berjaya mencatatkan tiga kemenangan, termasuk yang terbaru di Litar Teluk Intan.
Prestasi cemerlang yang berjaya diperoleh Farish telah meningkatkan jumlah mata kepada 89 dan ini membawa kepada satu saingan yang mencabar buat dirinya.
“Musim ini adalah kali pertamanya saya membawa motor jenis enjin ‘injection’, oleh itu memang sukar untuk saya mencari ‘setup‘ yang bagus, dan masih banyak lagi yang perlu saya pelajari.
“Selain itu, peserta-peserta kategori ini sangat kompetitif, jadi saya perlu berusaha keras untuk kekal konsisten”, ujarnya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, saingan utama yang akan berentap dalam musim ini adalah Amirun dan Emil kerana mereka mempunyai kebolehan tersendiri yang hebat.
Namun, semangat juang yang terpahat dalam jiwanya ini akan terus memastikan supaya azamnya untuk meraih tempat ketiga teratas sekali gus mencapai gelaran juara dalam musim ini berjaya.