KOMENTAR

Oleh MOHD FARIQ

PELBAGAI spekulasi timbul untuk mengisi kekosongan kerusi ‘panas’ skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara selepas penyandangnya, E Elavarasan melepaskan jawatan terbabit selepas setahun memimpin pasukan itu.

Beberapa nama jurulatih tempatan dan luar negara dicanang para pemerhati supaya diberikan ruang dan tempat mengemudi Harimau Malaya B-23 kerana saingan terdekat adalah Piala Asia B-23 2024 di Qatar, yang akan berlangsung April depan.

Namun demikian, bukanlah satu tugasan mudah buat barisan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ditunjangi Datuk Hamidin Mohd Amin memilih pengganti Elavarasan.

Tempoh enam bulan sebelum menghadapi kejohanan sebenar adalah terlalu singkat untuk jurulatih baharu itu mengenalpasti identiti dan DNA skuad negara yang telah dicorakkan Elavarasan.

May be an image of 5 people, clarinet and text

Penulis mencadangkan kepada FAM supaya mempromosikan terus sahaja penolong Elavarasan, Juan Torres Garrido yang berasal dari Sepanyol diangkat sebagai nakhoda baru.

Pengalaman di bawah Elavarasan dan mengenali budaya pemain Malaysia oleh Juan Torres, 42 antara kelebihan yang tidak harus dilepaskan begitu oleh badan induk negara.

Bukan lagi masa sesuai membuat eksperimen kerana pasukan negara sudah pun sah berada di pusingan akhir Qatar. Tindakan yang perlu dibuat adalah segera memberikan peranan kepada Juan Torres menggalas tanggungjawab memperlihatkan skil dan magis ketika bersama skuad.

Juan mempunyai lesen kejurulatihan Lesen A UEFA dan kerjayanya yang terdahulu banyak berkisar di negara kelahirannya sendiri. Bermula tahun 2010, Juan mula berkhidmat bersama CF Damm yang berpangkalan di Barcelona sebagai jurulatih B-18, penganalisis, pencari bakat dan pengarah teknikal.

May be an image of 2 people, people playing football, people playing American football and text

Kemudiannya, dia berhijrah ke FC Barcelona dengan berperanan sebagai ketua pencari bakat bagi wilayah Catalunya. Jawatan terakhirnya sebelum datang ke Malaysia adalah ketua bola sepak remaja profesional B-23 (head of professional youth football U23) bersama Granada CF.

Lagipun, episod kejayaan Elavrasan sebelum ini turut dibantu beliau yang bertindak sebagai pemudah cara. Kemenangan menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal di Sukan Sea di Kemboja pada Mei, pasukan muda itu berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos lalu.

Pasukan muda itu juga layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.

Pendapat ini walaupun kecil namun setidak-tidaknya menerbitkan buah fikiran serta membuka mata pihak FAM untuk berfikir sebelum menentukan calon terbaik berada di singgahsana posisi ketua jurulatih B-23.

Kita enggan melihat kehadiran pasukan bola sepak sebagai pelengkap jadual. Sekurang-kurangnya pamer semangat melawan, hadir motivasi yang tinggi serta bermain demi lencana di dada.

May be an image of 13 people, people playing American football, people playing football and text that says "155 fam.org.my @FAMalaysiaOfficial @FAMalaysia @FAM_Malaysia"

Bukan mudah untuk layak ke pusingan akhir tatkala pasukan jiran, Indonesia pun bermegah dapat bermain dalam pertandingan kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu buat kali pertama dalam sejarah.

Bagaimanapun, Juan Torres kelak tidaklah keseorangan kerana panglima skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan memantau segala gerak-geri kem B-23 yang semestinya berada di bawah pemerhatian pengendali asal Korea Selatan itu. Semuanya adalah kebaikan bersama dalam memperkasakan bola sepak Malaysia kembali digeruni di arena global.

Kini, terserahlah kepada prinsip FAM untuk menentukan apa yang molek khususnya pasukan B-23. Dengarnya, segalanya hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak yang terbabit serta kata putus yang akan dicapai nanti.