NIKMAT kemenangan akhirnya diperolehi pasukan Kuching City FC selepas bergelut lama dalam saingan Liga Super sejak kali terakhir meraih tiga mata pada Februari lepas.

Malam tadi, KUFC bangkit melakar kejutan menjinakkan Kedah Darul Aman 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran 2023.

Penolong ketua jurulatih Kuching City, Firdaus Morshidi melihat kemenangan ke atas Kedah adalah hasil usaha keras barisan kejurulatihan dan pemain pasukan itu.

“Alhamdulillah setelah terlalu lama kami tidak menang iaitu kali terakhir kami menang pada hujung Februari lalu. Walaupun ini baru aksi pertama, tetapi paling tidak ia memberi motivasi kepada pasukan.

“Taktikal kami menjadi dengan kami bertahan sebagai satu unit dengan semua pemain melakukan tugas dengan baik dan berjaya mengekang pemain import Kedah terutama Manuel Hidalgo dan Ifedayo Olusegun,” katanya selepas perlawanan.

May be an image of 2 people, people playing football, people playing American football and text

Berdasarkan rekod, ini kemenangan pertama diraih Il Gatto di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak dalam empat perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bercakaran lagi bagi aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman pada 4 Oktober ini.