DALAM memastikan prestasi pemain-pemain skuad kebangsaan, Harimau Malaya berada di tahap yang terbaik pada setiap perlawanan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan jalinan hubungan strategik bersama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Majlis menandatangani jalinan kerjasama bersama PPUM itu telah dilangsungkan di PPUM, Petaling Jaya, pada Rabu.

Perjanjian kerjasama itu telah ditandatangani di antara Pengarah Perubatan Universiti Malaya, Profesor Doktor Nazirah Hasnan dan Penolong Setiausaha Agung, Rosman Mohd Ibrahim disaksikan oleh Ketua Jabatan Perubatan Sukan PPUM, Profesor Madya Doktor Mohd Nahar Azmi Mohamed dan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.

May be an image of 5 people, people playing football and text

 Sivasundaram di dalam ucapannya menyatakan kehadiran PPUM di dalam sistem rawatan dan penjagaan kesihatan di Malaysia sejak 1962 akan memberikan manfaat yang besar terhadap pemain-pemain Harimau Malaya.

“Seperti yang umum ketahui, kecederaan di dalam bola sepak bukanlah perkara yang asing dan kami di FAM amat menitik beratkan kebajikan pemain serta ingin memastikan mereka menerima penjagaan yang terbaik.

“Menerusi kerjasama ini, saya pasti PPUM dapat meningkatkan lagi kekuatan dan prestasi skuad kebangsaan dengan penyediaan pelbagai jenis penjagaan dan rawatan terutama sekali dari segi pengurusan kecederaan sukan.

“Mewakili Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta seluruh warga kerja FAM, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada PPUM di atas kesudian untuk menjadi pusat rujukan kecederaan sukan bagi skuad bola sepak kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.