SABAH FC berjaya membuktikan mereka sememangnya layak untuk bermain di Piala AFC dan menunjukkan kelas tersendiri apabila menewaskan wakil Singapura, Hougang United 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Dua jaringan dari penyerang kebangsaan Darren Lok pada setiap babak dan gol awal dari Gabriel Peres cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dan kini menduduki tangga teratas kumpulan.

Sabah hanya memerlukan lima minit untuk berada di hadapan apabila Gabriel Peres menanduk masuk hantaran lintang cantik Daniel Ting sekaligus menggegarkan stadium dan berjaya menggembirakan 7,607 penyokong yang hadir meskipun dalam keadaan hujan.

Walaupun bermain dalam keadaan hujan, perlawanan masih berlangsung dengan baik dan rancak dengan Sabah menguasai sepenuhnya permainan dengan Hougang United sesekali melancarkan serangan balas untuk mencari gol penyamaan.

Likas bergemuruh sekali lagi apabila Darren Lok bijak menguis bola ke dalam gawang yang dikawal Zaiful Nizam Abdullah untuk gol kedua Sabah pada minit ke-38 sekaligus memberikan kelebihan selesa untuk mengakhiri babak pertama dengan kedudukan 2-0.

Memasuki babak kedua, hujan semakin lebat dan pergerakan bola sedikit terganggu akibat air yang bertakung namun para pemain kedua-dua pasukan tidak gusar dan terus menekan kubu lawan masing-masing.

Hasil dari satu serangan balas, Hougang United berjaya merapatkan kedudukan selepas bola tandukan Takayama Kazuma disahkan pengadil meskipun kelihatan dapat ditahan oleh Damien Lim di atas garisan gol.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan satu minit apabila Darren Lok sekali lagi menggegarkan jaring lawan menerusi satu tandukan hasil umpanan cantik kapten pasukan, Park Tae-su untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Meskipun sudah mendahului 3-1, barisan pemain Sabah kelihatan bagai dirasuk untuk menambah jaringan dengan melakukan percubaan demi percubaan namun dihampakan tiang gol dan keadaan padang yang kurang memuaskan.

Kedudukan 3-1 kekal hingga wisel penamat dan Sabah berjaya memungut tiga mata sekaligus menduduki tangga teratas Kumpulan H dengan satu lagi perlawanan menyaksikan wakil Vietnam, Haiphong FC menang 1-0 keatas kelab Indonesia, PSM Makassar.

Sabah akan berhadapan PSM Makassar di Bali untuk perlawanan kedua kumpulan manakala Hougang United pula akan melayan kunjungan Haiphong di Singapura pada 5 Oktober 2023.