KETUA pasukan Hougang United, Zulfahmi Arifin mengakui dia dan rakan-rakan sepasukannya teruja beraksi di hadapan penyokong yang ramai kerana mereka jarang mendapat peluang itu di Singapura.
Dia turut memberitahu rakan-rakan sepasukannya supaya tidak mempedulikan apa sahaja yang dijerit oleh penyokong Sabah sebaliknya menganggap perkara itu sebagai perkara yang positif buat mereka.
Hougang United tewas 1-3 kepada Sabah FC dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala AFC yang disaksikan lebih 7,000 penyokong tuan rumah di Stadium Likas yang mencipta satu atmosfera yang cukup meriah.
“Sejujurnya saya suka bermain dihadapan penyokong yang ramai. Saya beritahu rakan sepasukan di bilik persalinan bahawa jarang kita dapat perkara ini di Singapura. Apa yang mereka pekik dan maki jangan pedulikan kerana kita tidak dengar dan perlu ambil perkara itu sebagai positif dan lebih ramai penyokong lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Zulfahmi turut mengakui pasukan Sabah adalah pasukan yang lebih baik pada perlawanan ini dan pasukannya dapat mempelajari sesuatu yang berharga untuk dibawa ketika beraksi di peringkat domestik.
“Dari segi persembahan, saya tidak ada masalah kerana semua dah beri segala-segalanya kerana kita sedar ianya bukan perlawanan mudah terutama pada perlawanan pertama. kami tidak gembira dengan keputusan dan perlawanan masih banyak dan kami akan perbaiki untuk perlawanan seterusnya.
“Sabah adalah pasukan yang baik dengan ramai pemain kebangsaan dan antarabangsa. Kami lambat mengadaptasi keadaan padang tetapi ini adalah bola sepak dan banyak yang kami belajar serta boleh perbaiki untuk hadapi piala domestik,” tambahnya.
Pemain kebangsaan Singapura itu juga gembira bermain di padang natural berbanding di padang tiruan tetapi keadaan cuaca tidak mengizinkan padang untuk berada dalam keadaan baik dan dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan atau sebab mereka tewas.
“Kami biasa bermain di suka bermain di padang natural tetapi kami gagal adaptasi segera namun itu bukan alasan dan kredit kepada semua pemain yang berikan 100 peratus tetapi tahniah kepada Sabah kerana mereka adalah pasukan lebih baik,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Hougang United kini menduduki tangga ketiga Kumpulan H dan akan melayan kunjungan pendahulu sementara, Haiphong FC dari Vietnam di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 5 Oktober nanti.