PENYERANG Sabah FC, Darren Lok nyata gembira apabila berjaya menjaringkan dua gol ketika membantu skuad Badak menewaskan Hougang United 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis.

Dua jaringan masing-masing pada babak pertama dan kedua perlawanan cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Sabah sekaligus menggembirakan lebih 7,000 penyokong yang hadir ke stadium meskipun dalam keadaan hujan.

Dia yang bermain pada posisi yang berlainan atas arahan jurulatih, berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan walaupun agak gusar dengan risiko kecederaan akibat keadaan padang yang kurang memuaskan.

“Sangat gembira dapat jaringkan gol walaupun bermain di posisi lain. Tidak mudah untuk bermain pada separuh masa kedua kerana keadaan padang yang mana saya rasakan kami boleh jaringkan lebih banyak gol.

“Walaupun sukar tetapi kredit harus diberikan kepada semua pemain yang menunjukkan kesungguhan dan banyak perkara positif yang boleh diambil pada perlawanan malam tadi dan bersiap-sedia untuk perlawanan seterusnya,

“Sudah tentu ada sedikit kegusaran kerana apabila padang lecak dan licin, pemain akan banyak melakukan bentesan jadi saya perlu berhati-hati dan cuba elak dari terkena bentesan pemain lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Penyerang kebangsaan itu juga turut memuji sumbangan dua pemain penyerang yang banyak membantunya bergerak lebih bebas dan gembira dengan tugasan yang diberikan oleh Datuk Ong Kim Swee dan dia bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan akan datang.

“Penyerang sentiasa ingin menjaringkan gol dan malam ini saya berjaya. Park Tae-su menghantar bola yang cukup cantik untuk memudahkan kerja saya menjaringkan gol. Kehadiran Saddil Ramdhani dan Ramon Machado juga memudahkan tugas saya dalam pasukan ini dan gembira dengan kehadiran mereka berdua,” jelasnya.

Kemenangan ini meletakkan Sabah di tangga kedua Kumpulan H, berkongsi tiga mata dengan wakil Vietnam, Haiphong FC namun dibezakan perbezaan jaringan dan bakal bertemu PSM Makassar di Bali untuk perlawanan kedua pada 5 Oktober nanti.