99 Speedmart diumumkan sebagai penaja rasmi Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki pada musim 2023 ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan jumlah tajaan diterima daripada kedai serbaneka itu ialah sebanyak RM1.2 juta.

“99 Speedmart telah menghulurkan bantuan yang amat besar bagi saya dan pihak kami amat terharu apabila terdapat syarikat luar yang cakna dengan kepentingan hoki.

“Terima kasih juga kepada Yong Eng Kwang selaku pengurus operasi cawangan dan rakan rakan lain kerana sudi membantu kami dalam masa yang sama melihat sukan hoki ini sebagai satu potensi besar dalam memajukan sektor negara.

“Banyak lagi yang pihak kami dan penaja akan berdiskusi selepas ini terutama dalam fokus untuk membuka peluang pekerjaan atau lain-lain kepada belia dan remaja kini,” ujarnya dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional pada Jumaat.

Jelasnya, pihak KHM juga bakal mengadakan satu majlis untuk meraikan sejurus memperkenal para menaja berkemungkinan pada pertengahan bulan Oktober ini.

Kini, tinggal lebih kurang dua bulan lagi untuk saingan hoki piala dunia yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil  bermula 5 hingga 16 Disember 2023.