KETUA jurulatih skuad hoki lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim yakin bahawa pasukan kendaliannya itu berada pada landasan yang baik untuk hadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 selepas pulang daripada siri perlawanan persahabatan Jelajah Eropah tempoh hari.
Amin Rahim yang ingin menguji kekuatan anak buahnya telah menghantar mereka untuk bertemu dengan pasukan-pasukan gergasi Eropah sendiri seperti Jerman, Perancis dan England.
Menurutnya, skuad Young Tigers itu tampak lebih yakin dan bersemangat selepas hampir tiga minggu menjalani aksi persahabatan di sana walau hanya menang satu daripada lima aksi perlawanan.
Amin mengakui kehebatan pasukan-pasukan Eropah tersebut namun beliau masih percaya dan berbangga dengan lonjakkan prestasi anak buahnya dalam setiap aksi yang ditunjukkan.
“Bukan kita buat yang tidak bagus tetapi kita dah cuba yang sehabis baik untuk berlawan dengan pasukan terbaik serta saya memandang positif akan keputusan perlawanan persabahatan tersebut.
“Persiapan untuk ke Piala Dunia Remaja ini telah dibuat lebih awal lagi dan tertumpu kepada latihan fizikal juga elemen sudut penalti yang diajar oleh jurulatih dari Australia, Chris Ciriello untuk diasah dengan tajam lagi.
“Saya juga berharap pemain yang mengalami kecederaan pada masa ini akan segera pulih dan kesemua 30 pemain akan membuat ‘comeback’ sebelum Piala Dunia,” katanya kepada media pada Jumaat.
Skuad Young Tigers bakal berdepan dengan juara bertahan Argentina dan juga bekas juara, Australia pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bermula 5 hingga 16 Disember depan.
Malaysia yang telah diundi dalam Kumpulan A akan menyaksikan aksi perlawanan yang bermula dengan Chile, disusuli pertembungan menentang Argentina dan seterusnya Australia.