KARNIVAL Sukan Mahasiswa (KARiSMA) edisi ke-28 kembali dengan moto baharu Atlet Cemerlang, UiTM Gemilang dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah dilantik menjadi tuan rumah untuk kejohanan pada tahun ini.
KARiSMA yang bermula dari 20 September hingga 27 September membabitkan penyertaan lebih 3,800 orang termasuk 2,622 atlet, 667 pegawai serta sukarelawan yang merangkumi staf dan pelajar.
Terkini majlis perasmian pembukaan KARiSMA 2023 juga telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar di UiTM Permatang Pauh, pada Khamis.
Turut kelihatan dalam majlis adalah Yang Berbahagia Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi dan Yang Berbahagia Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Profesor Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali.
Sementara itu, karnival ini mempertaruhkan 1,278 jumlah pingat keseluruhan dan 20 buah piala iringan dalam 42 kategori acara sukan yang dipertandingkan.
KARiSMA ini bermula sejak tahun 1990 dengan nama Sukan Pelajar Institut Teknologi MARA atau lebih dikenali sebagai INTEKMA dimana ia dapat mencungkil bakat dan prestasi pelajar dalam bidang sukan yang diminati oleh mereka.
Selain menerapkan pembelajaran dari sudut akademik, UiTM juga menyelaraskan supaya pelajar mereka dapat mengikuti program sukan atau kokurikulum dengan seimbang bagi melahirkan kecemerlangan dalam kedua-dua bidang.