SKUAD silat kebangsaan yakin dapat mengharumkan nama negara di temasya itu berdasarkan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh setiap atlet yang bertanding menjelang Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam Mei ini.
Walaupun sudah lama tidak bertanding dalam kejohanan besar ekoran penularan pandemik Covid-19, latihan pusat secara insentif selama dua minggu di Langkawi dilihat memberikan tanda positif.
Selain itu, pencapaian memenangi dua pingat emas ketika Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa di Singapura pada Februari lalu telah dijadikan medan buat barisan kejurulatihan menilai kekuatan setiap atlet.
Pengurus skuad silat Datuk Mohd Arpan Sari berkata, bahawa perubahan peraturan dilihat sebagai cabaran utama buat semua negara yang bertanding.
“Kita perlu melakukan persiapan yang lebih agresif kerana di Sukan Sea Vietnam nanti, peraturan baharu silat akan diguna pakai sekaligus memberikan cabaran bukan sahaja buat Malaysia tetapi juga buat semua negara kerana tidak tahu kekuatan masing-masing akibat perubahan peraturan,” jelasnya pada sidang media pasukan Sukan Sea 2021, Khamis.
Bagi barisan kejurulatihan pula perubahan peraturan ini menyebabkan beberapa teknik diubah tetapi para atlet dilihat sudah menguasai sepenuhnya peraturan baharu ini.
Barisan pesilat kali ini diwakili atlet baharu dan atlet lama dengan Sukan Sea Vietnam ini bakal dijadikan platform untuk pemilihan atlet ke Kejohanan Silat Dunia yang dijadualkan pada Julai nanti.
Skuad silat akan bertanding dalam 16 acara melibatkan 14 atlet Kategori A dan 8 atlet Kategori B yang telah bersedia memberi cabaran sengit untuk mencapai sasaran 3 pingat emas yang dilihat sebagai realistik.