HANYA layangan dua kad kepada pemain negara menimbulkan rasa tidak puas hati ketua jurulatih hoki lelaki negara, A Arulselvaraj, selebihnya beliau berpuas hati dengan kemenangan ke atas Thailand.

Menurutnya, dua kad masing-masing satu kuning dan satu hijau dilayangkan kepada Muhajir Abdul Rauf dan Faiz Helmi Jali, adalah satu keputusan tidak tepat dibuat pengadil.

“Selain daripada dua kad kuning yang dilayangkan kepada pemain saya yang saya lihat bukanlah salah pemain, selebihnya saya berpuas hati dan menikmati perlawanan ini.

“Saya tidak boleh minta lebih daripada pemain, kerana ini adalah perlawanan pertama. Lagipun keputusan seperti ini memang sudah dijangka,” kata Arul, selepas Malaysian Tigers menewaskan Thailand 9-0 di Padang Hoki Gongshu Canal Sports Park.

Kejayaan skuad negara menjaringkan sembilan gol pada perlawanan pertama menentang Thailand, sudah cukup sebagai bekalan.

Sembilan jaringan yang dicipta itu sudah cukup menceritakan penguasaan skuad negara pada perlawanan terbabit namun momentum sama perlu diteruskan pada perlawanan berikutnya.

“Kita fokus daripada perlawanan ke perlawanan dan daripada situ, kita akan membina momentum untuk menghadapi aksi seterusnya.”

Jurulatih terbabit menurunkan semua pemain bagi membolehkan skuadnya mendapat minit permainan di atas padang, sekali gus mencari momentum dan mood kejohanan.

Pada perlawanan menentang Thailand, enam pemain negara mencatat nama selaku penjaring iaitu Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (2), Nik Mohd Aiman Nik Rozemi (2), Muhammad Aminuddin Mohd Mohd Zain (2), Abdul Khaliq Hamirin (1), Firhan Ashari (1) dan Amirul Hamizan Azahar (1).

Skuad Arul akan beraksi pada perlawanan kedua menentang Oman pada Selasa, sementara skuad wanita bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim akan membuka saingan kumpulan A menentang Hong Kong esok (Isnin).