RATU luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menerima tawaran untuk menyertai Kejuaraaan Dunia Alabama, Amerika Syarikat dari 7 hingga 17 Julai depan.

Ianya satu penghormatan besar buat Aaliyah kerana kejohanan ini adalah berdasarkan jemputan kepada atlet-atlet terbaik dari seluruh dunia dengan dia adalah salah seorang dari lapan peserta yang mendapat tempat untuk bertanding dalam acara tricks wanita.

 

Selain itu, Aaliyah juga adalah salah seorang peluncur dari Asia selain peluncur Jepun Saaya Hirosawa yang akan bertanding dalam acara jump.

“Walaupun mempunyai jurang dalam latihan sepanjang dua tahun ekoran Covid-19 , saya dapat rasakan saya sudah kembali di landasan sebenar dan melakukan banyak kemajuan selepas kembali berlatih secara konsisten.

“Sekarang saya percaya yang saya mampu untuk meluncur di pada tahap 10 terbaik dalam kategori tricks terbuka. Hanya kerana peluncur Amerika, Amerika Selatan dan Eropah mempunyai lebih banyak pertandingan menyaksikan mereka mempunyai ranking yang lebih tinggi berbanding saya.

“Namun saya sememangnya berada dalam lima terbaik untuk kategori Bawah-21 dan saya masih boleh memperbaiki ranking saya,” jelasnya.

Bagi memastikan persediaan sempurna menghadapi kejohanan ini, Aaliyah akan ke Amerika Syarikat selama sebulan untuk berlatih dan juga menyertai pertandingan.

Dia akan berlepas pada 9 Jun ini ke Florida dan akan menjadikan Pickos Waterski School sebagai pusat latihan dan akan berlatih di bawah seliaan bekas juara dunia dan pemegang rekod dunia, Cory Pickos.

Turut bersama-sama Aaliyah ke sana adalah jurulatihnya Larry Gisler yang akan terbang dari Santiago, Chile untuk bertanding dalam dua kejohanan di Lake Grew Polk City pada 18-19 Jun dan di West Palm Beach pada minggu berikutnya.

Misi utama Aaliyah di dua kejohanan itu adalah untuk memperbaiki catatan terbaik beliau 7,680 yang dilakukan pada Kejohanan Asia 2019.

Aaliyah mendapat sokongan daipada Yayasan Sime Darby, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Nautique Boats USA, D3 Skis USA dan Waterski & Wakeboard World Cup Sdn. Bhd.