PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu pemain-pemainnya sedar dan mengambil perlawanan menentang Terengganu FC sebagai pengajaran bahawa tidak semua pasukan di kedudukan bawah liga senang untuk ditewaskan apabila bermain dalam saingan piala.
Ini selepas skuad Gergasi Merah tidak berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia selepas diikat Terengganu 1-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk tewas dengan agregat 1-3 selepas tewas 0-2 di Gong Badak sebelum ini.
Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya supaya melihat kekalahan ini sebagai satu pengajaran dengan tidak memandang rendah terhadap pasukan lain yang berada di bawah pasukan mereka di dalam kedudukan liga.
“Perkara ini pemain perlu ambil pengajaran bahawa tidak semestinya anda berada di posisi kedua liga dan lawan berada di kedudukan keenam pasti kita boleh menang, tidak sama sekali kerana dalam bola sepak apabila memasuki pusingan kalah mati segala peluang yang terhidang perlu disempurnakan.
“Saya juga menuntut komitmen dari para pemain untuk baki perlawanan Liga Super kerana ianya penting untuk tiket ke pertandingan Asia dan pemain juga perlu bersedia kerana kita akan berehat panjang kerana tidak beraksi di separuh akhir Piala Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Selangor yang ketinggalan dalam babak pertama melakukan perubahan taktikal pada babak kedua dengan meletakkan Safuwan Baharudin di bahagian serangan menggantikan Richmond Boakye yang kurang memberi impak dalam perlawanan tersebut.
Menurut TCH sendiri kehadiran Safuwan di barisan hadapan dapat memberikan saingan kepada bahagian pertahanan Terengganu FC bagi memudahkan mereka untuk membuat hantaran-hantaran jauh.
“Itu adalah taktikal yang perlu kami gunakan kerana dalam mengejar mata 3-0 memang sesuatu yang sukar cuma kami cuba main dengan taktikal hantaran jauh dan perolehi gol pada minit akhir perlawanan. Sekiranya kita dapat gol sedikit awal di babak kedua semestinya kita dapat mengubah keadaan,” jelasnya.
Bekas pengendali kebangsaan itu juga tidak mahu mengulas isu pengadilan yang menimbulkan kekecohan dalam perlawanan itu sebaliknya hanya fokus kepada aksi pemainnya di dalam padang.
Selangor bakal bertemu Terengganu sekali lagi dalam saingan Liga Super pada 29 September di gelanggang lawan dan perlawanan itu penting untuk memastikan Selangor kekal di tangga kedua liga.