PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu laporan lengkap daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil berhubung tindakan keterlaluan tonggak pertahanan import Selangor FC, Yazan Al-Arab semasa aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 di Kelana Jaya pada Ahad.

Pemain kelahiran Jordan itu dilihat sengaja menendang pengadil perlawanan Mohd Hasrol Mohd Amir ekoran mungkin rasa tidak berpuas hati akibat menerima layangan kad merah.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika dihubungi FLASH SUKAN mengesahkan insiden yang berlaku malam tadi.

“Kita menunggu laporan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil pada hari ini. Selepas laporan diterima, ia akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan seterusnya serta bentuk hukuman,” katanya.

 

Dalam pertembungan hangat itu, anak buah Tan Cheng Hoe sekadar terikat 1-1 sekali gus tersingkir menerusi perkiraan agregat memihak Terengganu FC dengan 3-1 selepas menang 2-0 pada suku akhir pertama di Gong Badak minggu lalu.

Berdasarkan peraturan permainan, hukuman penggantungan adalah asas biasa buat mana-mana pemain yang didapati menyentuh, menolak mahupun menumbuk pengadil seperti mana yang terdapat dalam peraturan pertandingan bola sepak di seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN : Piala Malaysia 2023: Sang Penyu ke separuh akhir dalam aksi penuh drama

Malah, FAM juga sering menggunakan hukuman sama buat pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) yang didapati bersalah melakukan tindakan agresif itu.

Bukan itu sahaja, segelintir peminat bola sepak juga membaling botol air ke arah padang semasa perlawanan berlangsung dan viral sekeping gambar sebuah kereta dipecahkan cermin dipercayai menggunakan objek batu.