BIADAP! Itu sahaja perkataan paling layak diberikan kepada pertahanan import Selangor FC, Yazan Al-Arab yang dilihat menyepak pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir.

Insiden mengejutkan itu berlaku ketika aksi perlawananan suku akhir kedua Piala Malaysia Selangor FC bertemu Terengganu FC di Stadium MBPJ pada Ahad malam.

Pemain kelahiran Jordan itu dilayangkan kad merah oleh pengadil namun dia tidak berpuas hati dan menyepak bahagian belakang Mohd Hasnol.

Tindakan biadap pemain itu menjadi bualan dan viral di kalangan peminat-peminat bola sepak tempatan yang menganggap kejadian seperti itu tidak seharusnya ditunjukan oleh pemain bertaraf profesional.

Bagi Technical Referee Instructor FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Subkhiddin Mohd Salleh secara umum turut meluahkan rasa tidak selesa dengan tindakan pemain itu.

“Tamatkan kontrak dan hantar dia balik secara baik. Sikap seperti ini tak perlu ada atau dibawa masuk dalam liga kita. Buang sahaja dalam list kelab,” luahnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Subkhiddin yang kini sedang bertugas pada Sukan Asia, Hangzhou berkata, sebelum ini dia ada berkongsi pendapat mengenai insiden kekerasan pemain terhadap pengadil.

“Kalau tak sikap sebelum ini perlawanan di Kelantan ada juga pemain import yang melakukan kekerasan kepada pengadil. Ketika itu saya sudah memberitahu, kalau tidak ambil tindakan keras, kejadian akan terus berlaku lagi.

“Dan betul… ianya berlarutan. Kita tidak boleh membiarkan insiden ini terus berlaku. Tindakan keras wajar diberikan sebagai amaran kepada pemain-pemain lain.

“Kita ambil pemain import sebab apa? Sebab kita bukan sahaja ingin kongsi pengalaman, tetapi untuk melihat ‘attitude’ seseorang pemain itu. Kalau tunjuk sikap biadap ini, ia seperti memberi dorongan kepada pemain-pemain lain, malah kepada generasi muda dalam bola sepak melakukan perkara yang sama.

“Mereka ini diberi peluang hidup selepas ‘bunuh’ seseorang. Sepatutnya ‘bunuh’ balik karier dia. Itu pengajaran paling tepat,” ulasnya panjang lebar.

Dalam pada itu, Subkhiddin percaya insiden ini akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak yang berkaitan, dari segi hukuman yang dikenakan.

“Pengadil walaupun disepak, disentuh… mereka tidak boleh membalas balik. Apa yang perlu mereka buat adalah sabar, tenang dan buat report sahaja.

“Hanya pihak yang mengambil report sahaja boleh menilai insiden ini dengan rasa empati bagaimana ‘cederanya’ perasaan seseorang pengadil itu dihina. Perasaan keluarga pengadil itu juga turut terhina.

“Sebelum ini kalau ada insiden tersebut di luar negara, kita ketawa. Sekarang berlaku di negara sendiri.

“Di peringkat tertinggi, bila berlaku insiden ini, mereka juga akan ketawa kerana bagaimana pencegahan dilakukan. Adakah ia baik atau sebaliknya?,” tambah Subkhiddin.