WUSHU memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan pencapaian lebih gemilang di masa hadapan, terutamanya ketika negara menyertai temasya sukan antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, negara yang berjaya membawa pulang pingat acara wushu di pentas antarabangsa, rata-rata membuat pelaburan besar termasuk mendapatkan jurulatih dari China.
Justeru, Hannah berpendapat Malaysia tidak ada pilihan lain, melainkan mengikut langkah yang sama, berani berbelanja besar untuk sukan itu.
“Kalau kita masih menggunakan SOP (prosedur operasi standard) yang sama, masih guna bajet yang sama dan kaedah serta formula sama, kita tidak akan dapat keputusan yang berlainan (daripada sekarang).
“Bila lihat Sukan SEA dan sekarang (Sukan Asia), saya sedar prestasi (atlet) bertanding dengan Sydney (Sydney Chin), saya tahu kaedah itu perlu diubah. Sydney dan atlet lain perlu lebih banyak kejohanan untuk hilangkan rasa takut dalam pertandingan,” katanya, pada majlis makan malam bersama petugas media tempatan yang membuat liputan kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di sini, semalam.
Skuad wushu kebangsaan mempunyai seorang jurulatih sepenuh masa dari China, Zhang Yongsheng yang ditawarkan kontrak dua tahun bagi merangka program untuk menghadapi Sukan SEA 2025 dan 2027 serta edisi Sukan Asia seterusnya.
Semalam, nasib tidak menyebelahi Sydney selepas mengakhiri final acara taijiquan+taijijian wanita di posisi keempat dengan perbezaan 0.016 mata, di belakang pemenang gangsa di Pusat Sukan Xiaoshan Guali, di sini.
“Sydney beritahu sasaran peribadi adalah untuk tidak buat kesilapan dan beliau tidak buat kesilapan bermaksud persembahannya sempurna, beliau ikut segala yang dipelajari tetapi bila masuk (bertanding) di negara lain, ada (atlet) yang lebih cemerlang. Sydney telah berikan yang terbaik,” kata Hannah sambil mengakui, beliau turut mengalirkan air mata apabila Sydney terlepas pingat gangsa, biarpun untuk beberapa ketika, atlet negara itu berada di kerusi pendahulu tempat ketiga sebelum dipintas atlet Brunei, Basma Lachkar yang memenangi pingat perak acara itu.