SKUAD ragbi 7s negara akur, gagal mencapai sasaran separuh akhir ditetapkan ke Sukan Asia Hangzhou, apabila tersingkir di pusingan suku akhir hari ini (Isnin).

Skuad bimbingan ketua jurulatih ragbi 7s, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, pemainnya sudah memberikan yang terbaik namun juarang kualiti antara kedua-dua pasukan amat ketara.

“Atas kertas, baik ranking mahupun prestasi semasa sememangnya kita di belakang Korea Selatan, namun pemain sudah memberikan yang terbaik dan kita dapat lihat melalui keputusan perlawanan kali ini.

“Ada peningkatan dipamerkan kerana pada pertemuan terakhir dengan Korea Selatan, kita tewas dengan margin lebih 40 mata,” kata Nik Safuan.

Nik Safuan Ismade Nik Man, akur Korea Selatan terlalu kuat untuk Bunga Raya 7’s.

Menurutnya, dua pemain Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi dan Muhammad Hafiezi Sudin, dianggap paling cemerlang sepanjang temasya berdasarkan pemerhatian prestasi dan kekuatan.

Dalam pada itu, Nik Safuan mengakui sekiranya diberi ruang untuk mempersiapkan pasukan lebih awal, pasukannya mampu memberi saingan lebih sengit.

“Dari segi ketahanan fizikal dan kekuatan, Korea Selatan jauh berbeza meninggalkan pemain kita, jadi untuk masa hadapan, jika mahu mempersiapkan pasukan, perlulah lebih awal dan cukup masa.”

Pemain ragbi negara cuba menjatuhkan pemain Korea Selatan pada saingan suku akhir, Sukan Asia Hangzhou 2022.

Sementara itu, Azwan Zuwairi yang juga ketua pasukan berkata, sasaran pasukan kini berubah untuk menamatkan saingan di tempat kelima, berbanding empat terbaik.

Katanya, keputusan menentang Korea Selatan itu sudah boleh dijangka memandangkan skuad negara hanyalah pemain semi profesional dan separuh masa.

Kapten Ragbi Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi mahu pasukan fokus ke saingan separuh akhir plate untuk memastikan skuad negara menamatkan saingan di kedudukan kelima terbaik.

“Kekurangan ketara kita adalah dari segi ketahanan fizikal kerana kami (pemain) bukan pemain ragbi sepenuh masa.

“Malah ada di antara kami yang menjalani latihan sejak empat tahun lalu malah ada yang baru setahun, jadi untuk mendapatkan tahap yang sama seperti Korea Selatan adalah konsisten dalam latihan.

“Kami sebaliknya, masing-masing berkerjaya dan hanya boleh turun berlatih sekiranya tuntutan kerja tidak menghalang,” kata Azwan Zuwairi.

Tambah pemain berusia 26 tahun itu, sekiranya cukup jam latihan, semua pemain pasti mendapat tahap kecergasan yang cukup selain cukup serasi dalam perlawanan.

“Persiapan kami juga kurang rapi dan singkat. Pasukan ini menerima tiga jurulatih dengan pertukaran pertama berlaku pada akhir tahun lalu, awal tahun ini dan pertengahan tahun ini, jadi pasukan yang jurulatih sekarang dapat… sekadar ada.”