“INI pingat yang sangat bermakna buat saya kerana saya menunggunya selama lima tahun, selepas terlepas pingat di temasya Jakarta-Palembang.

Emosi yang tidak dapat dibendung Tan Cheong Min, pemenang pingat perak pertama negara di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, ketika hadir pada sidang media selepas dikalungkan pingat, acara kombinasi nanquan+nandao.

Tan Cheong Ming menyumbang perak pertama buat kontinjen Sukan Asia Hangzhou negqra.

Ternyata dia masih trauma dengan peristiwa di Jakarta apabila persembahan kedua iaitu nandao, lima tahun lalu di potong mata sehingga dia terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat.

Mengakui kepenatan selepas terpaksa menunggu lama dari pagi, perasaan gementar menghantuinya sebelum turun dalam acara kedua, nandao sebentar tadi, namun pesanan jurulatihnya di tepi gelanggang sebelum bermula, memberinya kekuatan.

Kesuraman kem wushu akhirnya membuahkan pingat perak.

“Saya tidak percaya saya dapat melakukannya tanpa ditolak mata dan ia meletakkan saya berada pada kedudukan kedua.

“Jadi pingat ini bukan semata-mata untuk wushu tetapi untuk seluruh Malaysia. Terima kasih pada semua pihak yang membantu saya sehingga ke hari ini,” kata Cheong Min.

Bangga… Jalur Gemilang dinaikkan ketika Tan Cheong Min meraih pingat perak acara kombinasi nanquan+nandao.

Terdahulu, Malaysia meraih pingat perak pertama di temasya Sukan Asia 2022, selepas Cheong Min mengumpul 19.419 mata, tewas kepada jaguh China, Chen Huiying yang merangkul pingat emas dengan 19.590 mata.

Kejayaan dilakar Cheong Min menyaksikan kem wushu negara akhirnya berjaya menamatkan kemarau 13 tahun tanpa pingat di temasya terbabit.

Kali terakhir skuad wushu memenangi pingat di Sukan Asia adalah menerusi Chai Fong Ying yang meraih emas acara gabungan taijiquan dan taijijian pada edisi 2010 di Guangzhou, China.