KELAB Aston Villa telah mengumumkan bahawa logo mereka akan diubah sekali lagi selepas prestasi musim penuh kali ini tidak memberikan impak yang diingini.

Perubahan tersebut telah dipersetujui oleh para penyokong Aston Villa sekali gus keputusan dibuat untuk menyuntik semangat serta perubahan yang baru dalam skuad itu.

Walau hanya melalui enam perlawanan dalam musim Liga Perdana Inggeris, Villa telah memutuskan bahawa reka bentuk logo sekarang ini tidak berfungsi dan kini mencari reka bentuk yang gah menjelang ulang tahun kelab ke-150, tahun depan.

Logo baharu kelab Aston Villa.

“Seperti yang diumumkan dalam mesyuarat baru-baru ini oleh Lembaga Penasihat Peminat, Aston Villa merancang untuk berhubung semula dengan penyokong untuk mencari pemilihan lambang yang baru sebelum ulang tahun ke-150 kelab tahun depan.

“Reka bentuk kini yang terpapar pada jersi pemain telah dinilai oleh kelab berdasarkan impak perubahan itu dari perspektif tempatan, global, dan komersial serta menyimpulkan bahawa logo semasa tidak memberi impak seperti yang diharapkan ketika ia diperkenalkan.

“Namun, keputusan lanjut mengenai proses perundingan yang baru akan diumumkan dalam masa yang singkat,” ujar wakil daripada kelab Aston Villa kepada Daily Mail.

Aston Villa Logo history

Sejarah logo terdahulu kelab Aston Villa yang ditubuhkan sejak 1880.

 

Walau bagaimanapun, mereka telah mencapai kata sepakat supaya logo yang melambangkan kemenangan Piala Eropah 1982 akan dibuang pada akhir musim ini.

Sementara itu, Villa akan terus berbincang dengan penyokong mengenai logo baru kelab dalam sesi perundingan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Proses pemilihan dijangka akan diikuti dengan senarai pendek serta undian juga diambil bagi memutuskan reka bentuk logo baru yang juga akan digunakan untuk menghormati ulang tahun kelab ke-150.