SKUAD wanita Malayan Tigress akur tewas di tangan pasukan Lubnan dalam aksi separuh akhir Women’s International Friendly 2023 awal pagi Khamis.

Walaupun kem negara dijangka berdepan satu aksi yang sukar sebelum perlawanan bermula, aksi atas padang di Taif jelas berbeza.

Anak buah Soleen Al-Zoubi berjaya menyerap tekanan dan bermain seperti biasa cuma menjadi penghalang adalah ketumpulan jentera serangan melakukan jaringan.

 

Kehandalan penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan yang mengawal benteng terakhir banyak menyelamatkan beberapa serangan berbahaya Lubnan di sepanjang kedua-dua babak.

Selepas masih terikat 0-0 hingga masa sebenar, perlawanan berlarutan ke masa tambahan selama 30 minit.

Tuah milik Lubnan apabila memenangi penentuan sepakan penalti 4-3. Terlepas final, kini perjuangan Malaysia diteruskan untuk memburu penentuan tempat ketiga pada 30 September.