KONSISTENSI servis menjadi penentu, siapa yang lebih berhak dikalungkan pingat emas pertama sepak takraw di Sukan Asia ke-19, apabila Malaysia dan Thailand bertembung dalam acara regu berpasukan.
Atas kertas, sememangnya juara bertahan Thailand cukup perkasa untuk mempertahankan emas namun skuad negara tetap berpeluang mencipta kejutan dalam perlawanan akhir regu berpasukan esok.
Justeru, Pengurus pasukan Sarifudin Mohd Salleh berkata, persaingan lebih terarah kepada kekuatan tekong pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua.
Katanya, Thailand memiliki tekong yang bagus serta teknik bertahan yang baik.
“Jika tekong kita konsisten dan menyukarkan mereka, saya percaya itu boleh buat percaturan mereka terganggu. Kami (pengurusan) bersama barisan kejurulatihan sudah mengkaji beberapa strategi untuk berdepan cabaran Thailand,” kata Sarifudin.
Sementara itu, jurulatih negara Ahmad Jais Baharun enggan meletakkan tekanan kepada pemain dan mengharapkan anak buahnya menyedari peluang mencipta kejayaan membanggakan yang terhidang.
“Semua pasukan nak muncul juara, begitu juga kami dan Thailand yang nak pertahankan emas, namun bagi saya lebih penting adalah bagaimana cara kita bermain di final.
“Saya harap pemain dapat fokus pada final dan berikan aksi lebih baik kerana perlawanan esok berbeza daripada perlawanan kumpulan dan separuh akhir,” katanya.
Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, Thailand memenangi emas dengan menumpaskan Malaysia di pentas final.