QABIL Ambak Mahamad Fathil melakar sejarah pada usia 43 tahun, menyumbang pingat emas pertama sukan equestrian kepada negara di temasya Sukan Asia Hangzhou.

Atlet equestrian veteran negara itu menghadirkan kilauan pingat pada lewat petang, selepas dia dan kudanya Rosenstolz, mampamerkan langkah bergaya pada acara dressage individu final.

Kemenangannya itu, membolehkan kontinjen negara menambah pungutan pingat emas kepada dua, selepas mencatat 75.780 mata, menewaskan pemenang Temasya Jakarta-Palembang lima tahun lalu, Jacqueline Siu dari Hong Kong.

Qabil bersama Rosenstolz berjaya memikat juri.

Jacqueline meraih 73.450 mata, meraih perak manakala atlet India, Anush Agarwalla pingat gangsa (73.030).

“Saya tukar kuda kerana Napoli (kuda yang bersamanya tiga bulan) terlalu muda dan tidak cukup pengalaman untuk beraksi di kejohanan besar.

Pingat emas berharga buat Qabil.

“Kehadiran ramai penonton dan kesan cahaya skrin besar boleh mengganggu tumpuan kuda, sementara Rosentolz cukup berpengalaman.

“Saya mengambil risiko besar dan hanya berharap pengadil sukakan persembahan kami,” kata Qabil.

Qabil tidak pernah terlepas menaiki podium Sukan Asia sejak membuat penampilan pertamanya di Temasya Bangkok 1988.