KESUNGGUHAN atlet Malaysia yang sedang bertanding di Sukan Asia Hangzhou berjaya menunjukkan semangat luar biasa untuk melakar kejayaan di temasya sukan berprestij itu.
Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut berada di bumi China berkesempatan melihat aksi secara langsung depan matanya kagum cara kontinjen negara bersaing dan memburu pingat.
“Apabila saya melihat atlet kita beraksi, dalam kepala saya saya boleh membayangkan diri saya melakukan perkara yang sama.
“Saya rasa itulah cara mereka menjadi ikon sukan, mereka memberi inspirasi kepada orang ramai untuk melakukan perkara yang sama
“Tetapi jika imaginasi ini terlalu jauh, kita akhirnya menjadi pengkritik kerusi berlengan memikirkan kita lebih tahu dan kita boleh melakukan lebih baik,” menurut posting di IG Story Hannah pada Jumaat.
Daripada keseluruhan acara sukan yang dipertandingkan, Malaysia yang terdiri daripada 292 atlet menyertai sebanyak 29 acara merangkumi 23 jenis sukan.
Sehingga semalam, dua pingat emas dirangkul kem Malaysia menerusi acara pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif dan ekuestrian, Qabil Ambak Mahamad Fathil.
Pada edisi kali ini, Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat secara spesifik sebaliknya hanya menyasarkan sebanyak 27 pingat tanpa mengira warna secara kutipan keseluruhannya.
Pada Sukan Asia 2018 di Palembang-Jakarta, Indonesia, kontinjen Malaysia hanya sekadar di kedudukan keseluruhan selaku tempat ke-14 dengan membawa pulang 36 pingat yang terdiri daripada 7 emas, 13 perak dan 16 gangsa.